Home Nasional MASkargo lebih bersedia sambut kedatangan vaksin COVID-19 Sinovac

MASkargo lebih bersedia sambut kedatangan vaksin COVID-19 Sinovac

Pesawat MAS MH604 yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech selamat mendarat di KLIA pada 10.07 pagi pada 21 Februari lalu.

SEPANG, 26 Feb  — Pengalaman menguruskan ketibaan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Ahad lepas, menjadikan pasukan MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) lebih bersedia untuk mengendalikan kedatangan vaksin COVID-19 jenis Sinovac esok (27 Feb).

Ketua Pegawai Operasi MASkargo Mohd Zulkefly Ujang berkata, walaupun vaksin jenis Sinovac berbeza pengendaliannya berbanding vaksin Pfizer-BioNTech, namun dengan pengalaman, beberapa penambahbaikan dirangka terutamanya berkaitan proses pemindahan vaksin dari pesawat ke trak.

Menurutnya, pesawat Malaysia Airlines MH318 dengan hiasan livery Jalur Gemilang, yang membawa envirotainer mengandungi vaksin jenis Sinovac, akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 9 pagi esok dari Beijing, China.

“Dari segi semangat, sangat bermotivasi. Mereka (pekerja MASkargo) bekerja dari pagi ke petang dan untuk ketibaan vaksin kali kedua ini, kami lebih bersedia,” katanya kepada Bernama ketika membuat tinjauan proses dry-run bagi menyambut ketibaan vaksin jenis Sinovac, di sini hari ini.

MASkargo adalah cabang kargo Malaysia Airlines Bhd, yang diberi tanggungjawab menyelaras proses penerimaan vaksin di KLIA.

Pada Ahad lepas, Malaysia menerima vaksin COVID-19 yang pertama dari jenis Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos dan KLIA adalah antara pintu masuk utama kedatangan vaksin berkenaan, selain Johor dan Pulau Pinang.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin antara individu terawal yang menerima suntikan vaksin berkenaan, sekali gus menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Fasa pertama program imunisasi itu bermula Februari hingga April melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi, iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas, bermula dari Mei hingga Februari tahun depan.

Menurut Mohd Zulkefly, sebaik pesawat mendarat esok, envirotainer, iaitu bekas khas yang mampu mengekalkan suhu kandungan antara 2 ke 8 darjah Celsius bagi mengisi vaksin Sinovac, tidak akan dibuka sebaliknya dibawa terus ke kawasan i-Secure untuk diperiksa keadaannya dan terus dibawa menaiki trak syarikat Pharmaniaga Bhd.

Pada 13 Januari lepas, Pharmaniaga mengumumkan telah menandatangani perjanjian dengan Sinovac untuk membotol dan mengedarkan 14 juta dos vaksin COVID-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di Twitter pada 19 Feb lepas berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sedang dalam proses menilai data klinikal Sinovac.

Vaksin Sinovac telah melepasi ujian klinikal tahap ketiga di beberapa negara termasuk Brazil, Turki dan Indonesia.

Ditanya perasaan beliau dan pasukannya yang menjadi antara barisan penting dalam memastikan vaksin COVID-19 sampai ke Malaysia dengan selamat, Mohd Zulkefly berkata ia merupakan satu perasaan bangga yang tidak dapat diterjemahkan dengan kata-kata.

“Kami berasa bertuah dan berbangga diberi peluang untuk memberi sumbangan dari segi logistik kepada negara,” katanya. – MalaysiaGazette