Home Nasional Selangor masih catat kes harian baharu tertinggi

Selangor masih catat kes harian baharu tertinggi

Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Selangor sekali lagi mencatatkan kes harian baharu Covid-19 tertinggi iaitu sebanyak 633 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 520 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Perak menyusul selepas Selangor dengan merekodkan 545 kes diikuti Johor sebanyak 276 kes, katanya.

“Sebanyak 95 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (54 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (28 kes), Kluster Telok Mas (6 kes), Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (3 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (2 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes), dan Kluster Tembok Bukit Besi (1 kes),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Manakala, kes-kes kematian hari ini melibatkan empat kes di Selangor, tiga kes di Kuala Lumpur, dua kes di Sarawak dan masing-masing satu kes di Sabah dan Johor.

Tambah beliau, sebanyak lapan kes melibatkan warganegara dan tiga kes lagi bukan warganegara. – MalaysiaGazette