Home Nasional Sultan Selangor berkenaan terima vaksin Covid-19

Sultan Selangor berkenaan terima vaksin Covid-19

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk menerima giliran suntikan vaksin Covid-19 selepas semua petugas barisan hadapan di Selangor selesai mendapatkannya.

Dalam satu kenyataan melalui Selangor Royal Office, Istana Alam Shah memaklumkan, ia termasuk doktor, jururawat, kakitangan hospital, anggota keselamatan, polis, tentera dan guru, yang akan mendapatkan suntikan vaksin berkenaan.

“Tegas baginda, keutamaan pemberian vaksin ketika ini harus ditumpukan kepada petugas barisan hadapan yang sentiasa berdepan risiko jangkitan yang lebih tinggi.

“Justeru, sehingga semua petugas barisan hadapan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing, baginda sendiri akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa, termasuk memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal lebih satu meter serta duduk di rumah sekiranya tidak perlu untuk berada di luar,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, baginda berkenan menasihatkan rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya, agar mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 seperti yang dijadualkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Baginda mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan kumpulan tertentu yang mendakwa diri mereka sebagai anti vaksin.

“Titah baginda, usaha yang dilakukan kerajaan menerusi pemberian vaksin ini seiring dengan tuntutan agama dan amat wajar dilakukan demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

“Namun demikian, walaupun sudah mendapatkan vaksin kelak, baginda mahu rakyat terus hidup dengan mengamalkan norma baharu sehinggalah pandemik Covid-19 ini dapat dikawal sepenuhnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette