PUTRAJAYA – Pembukaan semula semua Tabika Perpaduan secara bersemuka di seluruh negara bermula Isnin depan adalah selari dengan pengumuman Kementerian Pendidikan pada 19 Feb lalu, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memastikan pengoperasian Tabika Perpaduan tertakluk kepada pematuhan ketat garis panduan pembukaan semula prasekolah, garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau mengingatkan guru agar sentiasa memastikan murid-murid Tabika Perpaduan menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pada 19 Feb lepas mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang ditangguhkan sebelum ini susulan peningkatan kes COVID-19, akan bermula pada 1 Mac ini.
Keputusan itu melibatkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua, sementara untuk Tahun Tiga hinggat Tahun Enam sesi akan bermula pada 8 Mac.