KUALA LUMPUR – Kegiatan sebuah hotel tiga tingkat di Taman Connaught, Cheras menjadi premis pelacuran menggunakan wanita asing secara berselindung sejak beberapa bulan lalu akhirnya terbongkar.
Bertindak atas maklumat orang awam dan risikan terperinci, jam 2 pagi tadi penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyerbu premis itu dalam Operasi Tindakan Khas di Jalan Menara Gading dekat sini.
“Pemeriksaan di dalam hotel tiga tingkat itu mendapati terdapat 20 bilik yang dijadikan sebagai tempat urut dan aktiviti seks.
“Hasil serbuan yang dijalankan ke atas premis hotel ini mendapati seramai 12 orang wanita tukang urut disyaki pekerja seks ditahan,” menurut DBKL dalam kenyataan di sini.
Menurut DBKL, kesemua wanita asing itu terdiri daripada enam warga Indonesia, lima warga Thailand dan seorang wanita warga Vietnam.
Turut ditahan dua warga tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis untuk diambil keterangan bagi proses dokumentasi DBKL.
Selain itu, hotel berkenaan didapati melanggar syarat lesen hotel dan memiliki lesen perniagaan yang telah tamat tempoh.
Penguatkuasa DBKL mengeluarkan Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan menerusi Seksyen 3(3) dan notis penutupan serta merta di bawah Seksyen 18, Akta Hotel (WPKL) 2003.
Turut disita monitor, rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV), kondom, minyak pelincir dan lain-lain peralatan dari premis itu di bawah Akta Hotel (WPKL) 2003, Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta mengikut bidang kuasa serta Prosedur Operasi Standard DBKL.
“Operasi dan kerjasama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sementara kerjasama orang awam menyalurkan aduan adalah amat dialu-alukan bagi membanteras aktiviti tidak bermoral di pusat bandaraya ini,” tegas DBKL. – MalaysiaGazette