Home Nasional ‘Saja usik abam bomba’ alasan pemanggil palsu ketika PKP

‘Saja usik abam bomba’ alasan pemanggil palsu ketika PKP

Saadon (kiri) ketika ditemui MalaysiaGazette di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang di Batu Kawan.

BATU KAWAN – Saja usik bomba ekoran bosan berkurung di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa antara alasan pemanggil palsu kepada Pusat Gerakan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang (JBPPP), Saadon Mokhtar selepas mendapati sebahagian daripada 42 panggilan palsu yang direkodkan sepanjang tahun lalu membabitkan alasan tersebut.

Kata beliau, berdasarkan statistik jumlah panggilan palsu tahun lepas menurun sebanyak 28 kes berbanding tahun 2019.

Bagaimanapun, Saadon memberitahu alasan pemanggil palsu bagi tahun lalu amat mengejutkan, sekali gus membuat pihaknya terkilan dengan sikap segelintir masyarakat yang tidak peduli impak panggilan palsu tersebut.

“Ada pemanggil mendakwa nampak kepulan asap syak berlaku kebakaran dan ada juga beberapa panggilan yang sekadar untuk suka-suka dengan alasan bosan berkurung di rumah ketika PKP.

“Tidak kurang juga dengan alasan rumah dimasuki binatang tetapi apabila anggota sampai di lokasi tiada alamat seperti yang dinyatakan.

“Itulah antara cabaran pihak bomba lalui akibat karenah pemanggil palsu walaupun jumlah panggilan menunjukkan penurunan berbanding tahun 2019 iaitu sebanyak 70 kes,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui semalam.

Mengulas mengenai jumlah panggilan kecemasan yang diterima pihaknya, Saadon memberitahu sebanyak 1,582 panggilan diterima sejak awal Januari hingga Rabu lalu.

“Empat daripada jumlah keseluruhan itu merupakan panggilan palsu.

“Biasanya perbuatan seperti ini dilakukan remaja hanya sekadar suka-suka. Kami berharap ibu bapa memantau kegiatan anak mereka bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang,” ujar Saadon.

Justeru, Saadon menasihati orang ramai supaya tidak membuat panggilan palsu kerana berdepan dengan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette