Home Nasional Kompaun RM10,000: Jangan sampai menekan rakyat – Zahid

Kompaun RM10,000: Jangan sampai menekan rakyat – Zahid

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kompaun sebanyak RM10,000 yang akan dikenakan kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang bermula 11 Mac ini mnimbulkan keresahan rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peraturan baharu itu jika dilihat dengan mata kasar bersifat tegas, tetapi dikhuatiri akhirnya akan mengundang kemarahan ramai.

”Saya memahami kehendak kerajaan yang mahukan rantaian Covid-19 diputuskan segera dan ia memerlukan tindakan yang ketat.

Namun, kompaun yang begitu tinggi seperti menjerat leher rakyat yang kini sedang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Terima kasih kerajaan atas pengeluaran I-Sinar sebanyak RM10,000, I-Lestari RM500 sebulan, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Permai.

”Namun ramai mula menyindir mungkinkah bantuan itu akhirnya terpaksa dipulangkan sekiranya mereka secara tidak sengaja terlanggar SOP Covid-19,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Soal beliau, rakyat sedang berdepan ketidakmampuan ekonomi ditambah pula kadar pengangguran yang tinggi dan jika kompaun sebanyak RM10,000 dikenakan, berapa bulankah gaji bulanan yang diperlukan mereka untuk membayar denda berkenaan.

Masalah lain dikhuatiri menyebabkan berlaku pertelingkahan antara individu yang dikompaun dengan pihak penguatkuasa.

”Saya percaya mana-mana individu menyedari didenda sebanyak RM10,000 pasti akan berasa marah. Bagi saya denda bertujuan untuk mendidik, bukan untuk menekan hidup rakyat yang sedia ada dalam kepayahan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

+ posts

1 Komen

  1. Denda $10K tu untuk si pengingkar SOP yang tak serik didenda $1K dengan mengulangi lagi ingkar SOP dong.

Comments are closed.