GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.
Beliau menerima suntikan daripada Penyelia Jururawat HPP, Matron Hafizah Hamzah pada jam 10.25 pagi tadi, sekali gus sebagai simbolik kepada pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri yang bermula hari ini.
Proses vaksinasi itu turut disusuli Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman serta Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy.
Selain mereka, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Asmayani Khalib dan Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan turut menerima suntikan vaksin pada sesi sama.
Mengulas mengenai pengalaman menerima suntikan tersebut, Kon Yeow memberitahu beliau tidak gementar, malah semua proses berjalan dengan lancar.
“Saya tak rasa sakit ketika suntikan diberikan dan selepas 15 minit mereka (pihak hospital) memeriksa tahap tekanan darah tidak menunjukkan sebarang simptom.
“Saya harap perkongsian ini sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada rakyat di negeri ini untuk menerima suntikan vaksin sekali gus mencegah penularan wabak itu yang sudah setahun membelenggu kita,” ujar Kon Yeow.
Dalam pada itu Kon Yeow berkata, beliau berharap program suntikan vaksin fasa pertama melibatkan seramai 31,000 petugas barisan hadapan di negeri ini dapat disempurnakan dan berjalan lancar dalam tempoh tiga bulan.
“Pulau Pinang akan menerima lima lagi penghantaran vaksin dalam masa terdekat sebagai dos kedua kepada 31,000 penerima fasa pertama yang perlu disuntik dalam tempoh 21 hari.
“Saya harap rakyat di negeri ini segera mendaftar penerimaan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera,” kata beliau.
Sementara itu, berkongsi proses menerima suntikan vaksin Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan menjelaskan proses suntikan vaksin itu dijalankan dengan tertib dan cermat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Alhamdulillah, saya yakin dengan vaksin ini.
Sudah banyak kali saya menerima suntikan sebelum ini atas faktor kesihatan yang lain tetapi suntikan ini berbeza memang tak sakit.
“Selain itu, pihak hospital turut melakukan pemantauan selama 30 minit sebelum membenarkan kami pulang,” katanya kepada pemberita sebaik selesai menerima suntikan.
Setakat ini, seramai 318 petugas barisan hadapan di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin itu minggu lalu termasuk 54 pemvaksin. – MalaysiaGazette