Home Nasional 3 maut selepas dua kenderaan bertembung

3 maut selepas dua kenderaan bertembung

Keadaan kereta dan kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuching, lewat malam tadi.

KUALA LUMPUR – Tiga maut selepas dua kenderaan bertembung di Jalan Kuching dari arah Bulatan Segambut menghala ke Kepong, pada jam 12.30 tengah malam tadi.

Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Proton Satria dari Kepong menghala ke Bulatan Segambut hilang kawalan lalu melanggar batu penghadang di tengah jalan menyebabkan kereta memasuki ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat yang sedang bergerak di lorong paling kanan.

Akibat kemalangan, pemandu kereta dan penumpang di hadapan serta pemandu pacuan empat roda mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat dibawa ke Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan bedah siasat dibuat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette