Home Nasional SPV bangunkan infrastruktur 5G dikhuatiri terdedah kepada salah guna kuasa, rasuah

SPV bangunkan infrastruktur 5G dikhuatiri terdedah kepada salah guna kuasa, rasuah

Armin Baniaz Pahamin (tengah)

KUALA LUMPUR – Inisiatif MyDIGITAL dengan perbelanjaan RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun adalah cukup besar untuk peningkatan hanya 4.6% dalam jangka masa lima tahun amat membimbangkan.

Ini kerana sumbangan ekonomi digital telah pun mencapai 18% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM270 bilion dan saiz digital ekonomi global kini berjumlah AS$12 trilion.

Selain itu, rancangan kerajaan untuk membina infrastruktur 5G berjumlah RM15 bilion di seluruh negara melalui sebuah entiti khusus ataupun ‘Special Purpose Vehicle’ (SPV) milik kerajaan Malaysia dan bukan melalui proses tender terbuka amat membimbangkan dan mencurigakan.

Malah, entiti ini seterusnya akan diberikan spektrum yang bersesuaian untuk memiliki, melaksana dan menguruskan infrastruktur 5G.

Biro Ekonomi, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Armin Baniaz Pahamin berkata, terdapat beberapa persoalan di dalam niat kerajaan untuk menubuhkan SPV ini yang sememangnya akan memegang tanggungjawab tunggal dalam memikul dan melaksana projek infrastruktur 5G.

Rakyat perlu diingatkan bahawa memegang tanggungjawab tunggal ini mempunyai risiko-risiko tertentu terutamanya apabila kita melihat betapa pentingnya peranan teknologi 5G sebagai tunjang utama ekonomi negara di era Revolusi Industri Keempat.

Pertama, persaingan pasaran selalunya akan mendorong syarikat-syarikat tempatan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan yang paling inovatif, kos efisen, dan intuitif demi meyakinkan pelanggan-pelanggan terhadap keluaran mereka.

Akan tetapi, pelaksanaan infrastruktur 5G melalui SPV ini tidak mempunyai faktor saingan yang sihat untuk memastikan ia menjalankan suatu operasi yang efisien dalam mendirikan infrastruktur yang stabil, komprehensif, berkualiti tinggi dan mampu milik.

Menurutnya, Fitch Solutions dalam kenyataannya baru-baru ini juga menyebut, “Peningkatan kos yang tinggi ekoran pembentukan entiti tunggal kemungkinan akan diserahkan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi dalam bentuk kos borong (‘Wholesale Price’) yang lebih tinggi; akibatnya, margin dan keuntungan yang lebih rendah akan membantutkan kebolehan syarikat-syarikat telekomunikasi atau pengendali-pengendali teknologi untuk melabur dan mengembangkan perkhidmatan mereka”.

Kos borong yang lebih tinggi juga berkemungkinan akan dibebankan kepada pengguna.

Kedua, adakah SPV ini mempunyai kepakaran untuk mengurus infrastruktur 5G? Meskipun golongan profesional dilantik untuk menguruskan SPV ini, adakah langkah-langkah tadbir urus korporat akan diwujudkan untuk melindunginya daripada tekanan-tekanan politik?

Mengikut ‘trending’ lantikan jawatan dalam agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kerajaan Perikatan Nasional, ahli-ahli politik akan dilantik untuk menerajui dan menganggotai lembaga pengarah syarikat SPV ini sebagai salah satu cara untuk mendapat sokongan Ahli-Ahli Parlimen.

Ketiga, adakah SKMM benar-benar dapat mengawalselia SPV ini secara adil dan telus memandangkan ‘shareholder’ SPV tersebut adalah kerajaan sendiri? Ini menimbulkan konflik kepentingan yang mengenepikan prinsip tadbir urus yang telus.

Keempat, terdapat juga masalah dari segi ‘long-term governance’ dan samada SPV tersebut akan sentiasa berjalan secara profesional dan cekap. Saban tahun, kita dapat lihat bagaimana kerajaan membelanjakan berbilion-bilion wang untuk membuat ‘bailout’ bagi menampung kerugian-kerugian syarikat-syarikat GLC disebabkan ketidakcekapan dan kegagalan pihak pengurusan.

Armin berkata, tidak lama dahulu, rakyat juga dapat lihat bagaimana entiti milik kerajaan seperti 1MDB telah disalahgunakan untuk kepentingan peribadi dan politik. Apakah jaminan yang dapat diberikan oleh kerajaan untuk memastikan atau membuktikan SPV ini bukan 1MDB versi 2.0 dan bukan didirikan untuk keuntungan peribadi pihak-pihak tertentu.

Jelasnya, tanpa proses tender, impian rangkaian 5G juga mungkin terbengkalai dengan kerugian seperti projek Bestari.Net yang dilaksanakan semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Pendidikan. Jika projek Bestari.net dahulu dapat dicapai, sekolah-sekolah di Malaysia dapat mengharungi pandemik Covid-19 dengan lebih bersedia.

Ketiadaan maklumat-maklumat seperti yang disebut di atas serta sumber-sumber dana bagi meraih RM15 bilion, struktur pengawalseliaan, aset-aset yang akan dimiliki oleh SPV selain spektrum seperti menara telekomunikasi, gentian optik, dan rejim harga borong merupakan satu langkah yang tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh kerajaan.

Oleh kerana pembentukan SPV ini merupakan satu agenda penting untuk rakyat dan pemegang=pemegang lesen telekomunikasi, SKMM perlu menjalankan ‘public inquiry’ selari dengan Perkara 55 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, melainkan satu penjelasan yang terperinci dikeluarkan oleh kerajaan untuk memastikan salah guna kuasa tidak akan berlaku sama sekali dan ‘public inquiry’ dilaksanakan, Parti Pejuang menggesa kerajaan untuk menarik balik niat  mewujudkan  entiti khusus ini dan segera membuka projek ini secara tender terbuka.

Ia bagi memastikan sumber-sumber dan aset-aset negara diuruskan dengan cekap demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara, ujarnya. – MalaysiaGazette