Home Nasional PKPD di Penjara Tapah & Kuarters Kakitangan, Batang Padang sambung 2 minggu

PKPD di Penjara Tapah & Kuarters Kakitangan, Batang Padang sambung 2 minggu

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan, Batang Padang, Perak yang dijadualkan tamat esok.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 875 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 178 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM mengesahkan masih terdapat sejumlah 505 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan penularan jangkitan masih berlaku dalam kalangan tahanan di penjara ini.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Tapah & Kuarters Kakitangan, Batang Padang, Perak bermula 2 sehingga 15 Mac ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail menambah, sehingga semalam, seramai 13,091 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 20 orang didapati positif virus itu.

Jelas beliau, secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 519,984 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan yang melibatkan 27,107 majikan.

“Daripada jumlah ini, seramai 8,578 orang telah disahkan positif Covid-19 manakala 511,406 lagi adalah negatif.

“Sehingga kini, sebanyak 1,489 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini. Seperti yang telah diumumkan, ujian saringan COVID-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu,” katanya. – MalaysiaGazette