KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Santhara Kumar hari ini menafikan tuduhan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran kononnya beliau menyalahguna kedudukan sebagai Timbalan Menteri untuk berulang-alik ke New Zealand sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, keberadaannya di New Zealand dibuat mengikut segala prosedur yang telah ditetapkan termasuk memohon cuti tahun tahunan dan cuti tanpa gaji selama 55 hari.
Malah, katanya, beliau telah menulis surat permohonan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk menyelesaikan beberapa urusan di negara berkenaan.
“Ingin saya betulkan beberapa fakta terhadap beberapa pihak tetapi pada masa sama saya ingin berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana secara berhemah menyoal tentang dakwaan terhadap saya berbanding wakil pembangkang seperti Batu, Prabakaran.
“Saya tidak dapat balik ke Malaysia seperti yang didakwa malah isu salah guna kuasa dan melanggar PKP tidak timbul langsung. Untuk ini, perkara pertama setelah sekembalinya saya ke tanah air, saya akan buat laporan polis kerana telah memfitnah saya.
“Untuk makluman saya telah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa malah ingin saya tekanan saya ini bukanlah golongan ‘kayangan’ sebaliknya ikut prosedur ketika memulakan perjalanan ke New Zealand pada 23 Disember lepas,” katanya.
Menurut Santhara, sejak bergelar Timbalan Menteri beliau tidak berkesempatan bertemu dengan keluarganya sejak awal tahun 2020.
“Saya telah memohon cuti selama 55 hari, itu termasuklah cuti tidak berbayar (unpaid leave) setelah semua cuti tahunan saya digunakan untuk tujuan perjalanan ini pada akhir Disember lepas.
“Kononnya ada dakwaan saya masih mendapat gaji walhal sedang bercuti dengan keluarga itu langsung tidak betul. Malah, cuti yang saya mohon ini telah mendapat kelulusan dari Menteri saya, Tan Sri Annuar Musa juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kehadiran saya ke New Zealand juga mempunyai sebab lain termasuklah sedikit isu perundangan yang memerlukan saya bertemu peguam saya, sebagai plaintif saya telah hadir untuk memfailkan dokumen kebangkrapan terhadap defendan, memandangkan keputusan berpihak kepada saya di negara itu.
“Selain itu, Covid-19 telah menyebabkan banyak urusan terbantut memandangkan perjalanan ke luar negara bukanlah seperti kebiasaan, perlu ikut semua garis panduan dan saya amat serius serta prihatin kerana saya sendiri seorang wakil rakyat,” ujarnya.
Santhara menceritakan juga perihal serta kepentingan beliau berada di samping keluarganya ketika ini.
“Selain melawat keluarga, saya juga menggunakan peluang cuti tahunan dan cuti tanpa gaji ini untuk mendaftar pembelajaran anak perempuan dalam bidang undang-undang.
“Saya perlu ada sewaktu pendaftaran ini, pelajar-pelajar Malaysia lain diberikan biasiswa dan penaja tetapi, anak saya tidak mendapat sebarang biasiswa atau sebarang bantuan lain maka adalah tanggungjawab saya sebagai ayah kepada anaknya untuk bantu apa yang patut.
“Saya juga mempunyai seorang anak lelaki berusia 9 tahun juga perlukan perhatian saya, selama ini saya begitu aktif dan bekerja sepanjang waktu, cuti ini saya manfatkan sebaiknya apatah lagi mendapat persetujuan dari pihak atasan saya dan mengikuti segala prosedur ditetapkan,” ujarnya.
Kata Santhara lagi, setibanya beliau ke New Zealand dari Singapura pada 24 Disember, beliau telah dikuarantin sehingga menyebabkan tidak dapat menyambut Krismas mahupun Tahun Baharu dengan keluarganya.
“Saya hanya dibenarkan untuk selesai kuarantin pada 9 Januari 2021 seperti dikehendaki oleh kerajaan New Zealand. Malah saya tidak dapat bersama keluarga untuk Krismas mahupun Tahun Baru 2021 kerana masih dalam kuarantin.
“Saya juga ingin dedahkan kepada anda, permohonan saya untuk anak-anak saya dari New Zealand ke Malaysia dan kuarantin di rumah telah ditolak oleh KKM. Ianya tidak mendapat kelulusan dari Ketua Pengarah KKM walaupun anak saya telah membuat rayuan.
“Selain itu, MAS juga telah batalkan semua penerbangan ke New Zealand sehingga hari ini. Maka, saya sepatutnya melawat mereka selepas sidang Parlimen pada awal Disember 2020. Tetapi, sidang Parlimen dilanjutkan sehingga akhir Disember 2020, maka saya telah hadir 100 peratus sidang sidang Dewan Rakyat.
“Malah saya telah juga menjalankan tanggungjawab hadir di Dewan Negara untuk menjawab soalan seperti mana yang perlu.
“Saya buat keputusan untuk terbang ke sana mengggunakan cuti tahunan layak dan cuti tanpa gaji saya selepas saya selesaikan semua urusan saya di Parlimen. Bagi saya, tanggungjawab itu penting dan saya ikut semuanya,” jelasnya.
Santhara menyambung, tanggungjawab sebagai wakil rakyat untuk pengundi juga tidak pernah diabaikan malah tugasnya sebagai Timbalan Menteri yang memerlukan komitmen di Wilayah Persekutuan sentiasa dipikul selama ini.
“Saya telah merancang semuanya, saya juga mempunyai semua pegawai bertugas yang bekerja bawah saya dan saya juga mengambil staf tambahan yang dibayar oleh saya sendiri untuk membantu saya lunaskan semuanya dengan begitu baik sekali.
“Mereka bekerja sentiasa ada untuk semua aktiviti seperti pemberian bantuan Covid, bantuan khas persekolahan dan juga bantuan Tahun Baru Cina. Bantuan untuk mangsa banjir sewaktu saya dalam kuarantun juga telah dirancang dan dilaksanakan.
“Buktinya anda boleh lihat sendiri, walaupun ketika kita berdepan dengan PKP pegawai saya melalui arahan saya saban waktu jalankan tanggungjawab, mereka juga sentiasa berhubung dengan saya 24 jam walaupun ada perbezaan waktu.
“Semua peruntukan serta keperluan juga dilakukan dengan penuh amanah dan semuanya saya rekodkan. Saya tidak ‘menghilang’ seperti kata mereka ini. Yang hilang ialah MP yang tidak berbuat demikian dan tidak membantu rakyat.
“Pelik sekali kerana saya aktif dan tahu tanggungjawab, pada masa sama saya juga mempunyai peranan yang perlu pikul untuk keluarga saya terutamanya anak-anak saya. Bagaimana jadi pemimpin masyarakat, jika tugas sebagai ayah kepada anak pun tidak dilaksanakan?
“Janganlah memandai buat tuduhan, kepada mereka ini, saya memberikan amaran untuk meminta maaf kerana membuat tuduhan palsu. Saya akan berbincang dengan peguam saya dan mengambil tindakan lanjut yang sesuai, termasuk laporan polis juga kepada SKMM.
“Kepada Yang Berhormat pembangkang, patutnya anda lebih arif dan lebih fokus jaga kebajikan pengundi anda, anda tidak buat itu sebaliknya cuba menuding jari kepada saya. Saya mempunyai semua bukti perjalanan, permohonan serta kelulusan.
“Saya juga dapat kelulusan dari Jabatan Imigresen pada 23 Disember untuk perjalanan ini. Saya sekali lagi ingin tekanan diri saya langsung tidak langgar undang-undang mahupun lari dari tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat.
“Saya tidak perlu jawab dengan begitu panjang lebar jika bukan fitnah serta fakta tidak berasas ini sebenarnya, kita sudah lalui dan masih lalui keadaan tidak menentu pandemik pada masa ini, mengapa ada lagi ahli politik serta pihak tertentu sengaja hendak keruhkan keadaan dengan perkara seperti ini.
“Kerana tindakan anda, saya perlu buang masa yang boleh saya manfatkan untuk rakyat dengan bercakap dengan peguam saya, buat laporan polis dan lain-lain, hakikatnya ini tidak perlu tetapi saya juga punya kepentingan untuk betulkan apa yang salah disebar terhadap saya,” tegasnya. -MalaysiaGazette
Pada masa sama, Santhara juga telah mengepilkan semua dokumen perjalanan termasuk surat permohonan cuti tahunan dan cuti tanpa gaji kepada Annuar Musa dan Muhyiddin Yassin dengan nota lulusan bersyarat menggunakan cuti tahunan serta cuti tanpa gaji. -MalaysiaGazette
Gagal jawab keberadaan Timbalan Menteri boleh timbul kemarahan rakyat – Najib