Home Pendapat SPRM wajar pantau program imunisasi kebangsaan

SPRM wajar pantau program imunisasi kebangsaan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memuktamadkan perjanjian mendapatkan sebanyak 30 peratus lagi bekalan vaksin Covid-19 Comirnaty (Concentrate For Dispersion For Injection) keluaran Pfizer-BioNTech.- Gambar hiasan.

PIHAK Malaysia Corruption Watch (MCW) ingin mengesyorkan agar Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis memantau dengan teliti pelaksanaan
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Hal ini kerana sudah timbul cakap-cakap
bahawa ada golongan kenamaaan (VVIP) yang cuba memotong giliran untuk
mendapatkan suntikan vaksin pada fasa pertama ini. Pada dasarnya, tidak wajar ada
mana-mana pihak memotong giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin pada
peringkat fasa pertama yang dikhususkan untuk petugas barisan hadapan. Jika benar
dakwaan ada orang kenamaan cuba untuk memotong giliran tersebut, itu adalah
perbuatan mementingkan diri dan tidak boleh dimaafkan.

Harus diingat pihak berkuasa telah menetapkan penerima suntikan vaksin mengikut
tiga fasa melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, iaitu Fasa 1 dari Februari
hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan membabitkan kira-kira
500,000 orang. Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga
emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya
(OKU) membabitkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari
2022 untuk penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas baik warganegara
mahupun bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang. Ringkasnya,
kita menjangkakan program imunisasi yang sudah bermula ini boleh memastikan
sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin
menjelang Februari 2022.

Jadi agak mengecewakan jika ada yang ambil kesempatan atas gelaran “VVIP” untuk
memotong giliran baik untuk diri sendiri mahupun untuk ahli keluarga. Ini satu
tindakan yang tidak berintegriti, bermoral dan bertanggungjawab, justeru kita tidak boleh membiarkan ianya berlaku sehingga meletakkan para petugas barisan hadapan
dalam risiko yang tinggi.

Ingat, petugas barisan hadapan adalah golongan yang cukup berisiko tinggi dan
terdedah kepada jangkitan wabak ini kerana mereka sentiasa bersama dalam
menguruskan pesakit Covid-19. Jadi selayaknya mereka menjadi kelompok pertama
yang menerima suntikan vaksin agar dapat melindungi diri sekali gus boleh
meneruskan perkhidmatan mereka sama ada dalam melaksanakan proses saringan
mahupun merawat pesakit yang positif.

Ini penting kerana kita perlu menghargai segala jasa dan sumbangan para petugas
barisan hadapan selama ini yang bertungkus lumus melaksanakan tugas, termasuk
mengambil pelbagai risiko dan sanggup menggadai nyawa dalam membantu
memutuskan rantaian penularan wabak di negara kita. Jadi kenapa ada VVIP yang
sanggup menzalimi kelompok ini? Apakah VVIP ini masih tidak sedar atau sukar
memahami sumbangan para petugas barisan hadapan?

Justeru kita berharap golongan kenamaan ini boleh memahami situasi dan keperluan
semasa siapa yang lebih layak menerima suntikan vaksin pada fasa pertama ini. Ikut
sajalah jadual giliran mengikut fasa yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan, tiada
keperluan untuk kita menyalahguna kedudukan dan memotong giliran.

Pada masa yang sama , kita berharap pihak pengurusan fasiliti kesihatan yang akan
menjalankan proses suntikan ini akan lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan
pujukan atau ugutan mana-mana golongan kenamaan yang mahu nama mereka
disenaraikan untuk suntikan. Jangan kita takut untuk mengatakan tidak kepada
mereka kerana ianya membabitkan kebajikan dan nyawa para petugas barisan
hadapan. Justeru teliti betul-betul senarai nama yang layak menerima suntikan
supaya lebih telus, bertanggungjawab dan adil kepada petugas barisan hadapan.

Dalam hal ini, kita juga menyambut baik saranan Menteri Sains, Teknologi dan
Inovasi, Khairy Jamaluddin selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19
Kebangsaan yang meminta mana-mana individu yang ada maklumat supaya tampil
menyalurkan terus aduan kepada beliau untuk membolehkan siasatan lanjut
dilakukan. Semoga mana-mana individu yang ada maklumat akan berani tampil
untuk membuat aduan dengan segera.

Justeru demi memastikan program ini berjalan dengan lancar, MCW memohon agar
SPRM dan Polis memantau keseluruhan proses pemberian vaksin ini di seluruh
negara agar tidak berlaku sebarang unsur salah guna kuasa, penyelewengan
mahupun rasuah. Kita khuatir golongan kenamaan akan cuba menggunakan
kedudukan dan pangkat untuk “memaksa” pihak berkuasa kesihatan menuruti
permintaan mereka untuk mendapatkan suntikan dengan memotong giliran.

Hal ini penting kerana program imunisasi ini baru bermula dan akan berlaku di
seluruh pelusok negara, justeru ada kemungkinan agak sukar untuk dikawal dengan
teliti. Oleh itu, SPRM dan Polis di peringkat negeri dan daerah perlu memantau
secara teliti proses pemberian vaksin ini sehingga selesai kesemua fasa yang telah
ditetapkan mengikut golongan yang disenaraikan.

Ironinya, defisit integriti boleh berlaku di mana-mana dan dalam semua proses
kehidupan selagi mana ada individu yang cuba menggunakan kedudukan untuk
kepentingan diri. Jadi pihak berkuasa perlu segera memantau program ini agar tidak
terpesong dari matlamat dan sasaran yang ditetapkan. Semoga Program Imunisasi
Covid-19 Kebangsaan berjalan dengan lancar seperti dirancang dalam suasana
amalan integriti yang tinggi, matang dan profesional.

Penulis adalah Timbalan Ketua Panel Pemikir MAlaysia Corruption Watch (MCW)