KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan kutipan cukai berjumlah RM143.9 bilion pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pihaknya akan menjadikan pencapaian kutipan cukai tahun 2020 sebagai pendorong untuk membuat lonjakan berganda pada tahun 2021.
Menurutnya, LHDN telah berjaya merekodkan kutipan hasil cukai langsung sebanyak RM123.093 bilion iaitu lebih RM1.393 bilion berbanding sasaran yang disemak kali ketiga oleh kerajaan bagi tahun 2020 berjumlah RM121.7 bilion.
“Kemunculan pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020 telah mencetuskan krisis kesihatan dan ekonomi global yang tidak pernah dihadapi sebelum ini, sekaligus memberi tekanan kepada pentadbir cukai seluruh dunia yang turut menjejaskan prestasi kutipan cukai negara.
“Mendepani cabaran ini, LHDN bingkas mengambil tindakan dengan menubuhkan satu Jawatankuasa Pengurusan Krisis atau ringkasnya CMT LHDN yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan krisis kesihatan yang berpunca daripada Covid-19 ini dapat ditangani secara berkesan di LHDN.
“Pelbagai risiko baharu (emerging risks) yang berpotensi menjejaskan organisasi akibat pandemik ini dikenal pasti dan diambil tindakan segera demi menjamin operasi teras percukaian dapat diteruskan tanpa halangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Sambutan Hari Hasil Ke- 25 LHDNM 2021 yang disiarkan secara langsung secara maya di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Sabin menambah, antara strategi yang dirangka LHDN ketika ini untuk memastikan teras percukaian dapat diperkasakan bagi meningkatkan tahap pematuhan, menggandakan lonjakan kutipan dan mengurangkan ketirisan hasil.
Bagi menjejak ketirisan cukai, beliau berkata, LHDN perlu agresif dalam meneroka data perisikan yang baharu dan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain bagi mengenal pasti kaedah perniagaan dan bagaimana pengelakan cukai dilakukan.
Menurutnya, bagi meningkatkan pematuhan sukarela dalam kalangan pembayar cukai, pada tahun ini LHDN telah membentuk satu jawatankuasa kerja untuk menyediakan Framework on Tax Corporate Governance (TCG) / Rangka Kerja Tadbir Urus Cukai Korporat khusus untuk pembayar cukai syarikat.
“Objektif utama TCG adalah untuk memastikan semua syarikat membayar cukai yang sepatutnya dengan penyeliaan dan campur tangan (supervision and intervention) yang minimum oleh LHDN.
“Selain itu, LHDN juga perlu memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam hak mencukai pendapatan ekonomi digital dengan membuat semakan undangundang percukaian bagi menangani ledakan ekonomi digital yang pastinya menuntut kajian menyeluruh dan perubahan polisi percukaian.
“Selain dari strategi pematuhan cukai berimpak tinggi dan berkesan dalam menjamin kutipan cukai yang mapan, LHDN juga tidak memandang ringan terhadap mutu perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan.
“Walaupun dalam persekitaran yang sangat mencabar khususnya dalam tempoh pandemik ini, kami akan terus memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan mesra pelanggan sentiasa diberikan keutamaan,” katanya. – MalaysiaGazette