Home Ekonomi Ralph Marshall dipilih sebagai CEO Digital Nasional Berhad.

Ralph Marshall dipilih sebagai CEO Digital Nasional Berhad.

Augustus Ralph Marshall

KUALA LUMPUR – Augustus Ralph Marshall dipilih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad (DNB), sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang ditubuhkan untuk MyDigital.

Pelantikan itu mengesahkan spekulasi yang berlegar sejak beberapa hari ini.

Manakala Datuk Asri Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan pula dilantik sebagai Pengerusi DNB.

Tiga lagi individu dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah iaitu Datuk Seri Dr. Yusof Ismail, Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dan Datuk Muthanna Abdullah.

Kementerian Kewangan berkata, gabungan lantikan profesional dengan pengkhususan di dalam sektor-sektor seperti kewangan awam, penguatkuasaan telekomunikasi, teknologi maklumat, telekomunikasi dan perundangan merupakan kombinasi kemahiran dan pengalaman yang tepat untuk membina, memiliki dan menguruskan rangkaian 5G Malaysia untuk pelancaran komersil seluruh negara.

Ahli pengurusan kanan DNB ini akan diumumkan pada masa yang terdekat.

DNB akan menawarkan perkhidmatan 5G melalui model borong yang dirangka untuk memastikan ketelusan dan pelaksanaan yang lebih baik.

Ia akan diuruskan berlandaskan kerangka governans yang sesuai, proses tender terbuka bagi pembangunan infrastruktur 5G, serta amalan terbaik global untuk memastikan pengurusan yang mantap.

Semua pemain perkhidmatan telekomunikasi akan mendapat akses terbuka, adil dan setara di dalam mendapatkan perkhidmatan rangkaian 5G secara borong untuk pembangunan perkhidmatan runcit berlandaskan teknologi 5G ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, pelancaran rangkaian 5G ini dengan segara adalah sangat penting untuk kita melancarkan pelan rangkaian secara sistematik dan profesional untuk memacu inisiatif pertumbuhan negara melalui MyDigital, yang bertujuan untuk memastikan kemajuan sosio-ekonomi dan keterangkuman bagi semua rakyat Malaysia.

”Kita tidak boleh ketinggalan di kala seluruh dunia pantas menggunapakai teknologi seperti kecerdasan buatan, kenderaan pandu sendiri, robotik, Internet of Things (IOT), pengkomputeran awan dan digital twin untuk terus mencipta peluang baru bagi pertumbuhan masa hadapan.

”Bagi membantu Malaysia mencapai aspirasi 5G negara, kerajaan berharap dapat bekerjasama dengan sektor swasta di dalam industri telekomunikasi domestik. Dengan fokus DNB kepada pelaburan infrastruktur 5G, pemain sektor swasta dapat menumpukan usaha mereka kepada penyampaian produk dan perkhidmatan yang
lebih baik, tanpa dibebani oleh pelaburan yang besar, atau perbelanjaan modal yang bertindih dengan Kerajaan.

”Ini adalah satu situasi yang memanfaatkan semua pihak, termasuk pengusaha telekomunikasi, perniagaan dan pengguna, demi penumpuan
usaha ke arah penyediaan 5G menjelang akhir 2021,” tambah beliau.

Teknologi 5G adalah aset digital strategik yang memerlukan sumber daya yang mencukupi untuk membangunkan infrastruktur dan kerangka pengedaran yang sesuai.

Pelaburan di dalam pembangunan teknologi 5G ini adalah satu strategi dan infrastuktur penting bagi mempercepatkan inovasi dan membina sebuah ekosistem digital yang mantap.

Sehubungan itu, pemilikan awam yang digandingkan dengan pasukan pengurusan profesional adalah formula yang tepat untuk memastikan perbelanjaan
pembangunan yang mencukupi, dan mengurangkan jurang digital semasa, demi mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. – MalaysiaGazette