PADA awal Pemuda Pakatan Harapan ditubuhkan, YB Nik Nazmi diamanahkan untuk memimpin Pemuda Pakatan Harapan sehingga Pakatan Harapan mencapai kemenangan pada 9 Mei 2018.
Selepas Pemilihan KEADILAN 2018 dan pertukaran kepimpinan Angkatan Muda Keadilan, Syed Saddid (Ketua ARMADA pada ketika itu) telah diberikan mandat mengetuai Pemuda Pakatan Harapan pada 13 Disember 2018 sebelum beliau meninggalkan Pakatan Harapan pada Februari 2020.
Namun selepas peristiwa ‘Langkah Sheraton’, Pemuda Pakatan Harapan pusat masih belum memilih seorang Ketua secara rasmi. Ini menyebabkan seolah-oleh Pemuda Pakatan Harapan tidak wujud dan hanya ada pergerakan di peringkat negeri sahaja.
Baru-baru ini terdapat ura-ura mengenai proses pemilihan Ketua Pemuda Pakatan Harapan sedang berlangsung namun masih tidak ada sebarang pengumuman dibuat berkenaan Jawatankuasa Pimpinan Pemuda Pakatan Harapan yang baru.
Pilihan Raya Umum ke-15 bakal berlangsung pada bila-bila masa tahun ini namun Pemuda Pakatan Harapan masih tidak ada kepimpinan di peringkat pusat apatah lagi kesepakatan dalam gerak kerja.
Saya tidak hairan jika sayap pemuda parti komponen dalam Pakatan Harapan terus bercakaran sesama sendiri kerana untuk memilih kepimpinan pun mereka masih gagal untuk selesaikan.
Saya menggesa pimpinan setiap sayap pemuda mengadakan perbincangan segera serta menyusun struktur jawatankuasa Pemuda Pakatan Harapan yang baru agar sayap pemuda dapat menyusun gerak kerja menjelang Pilihanraya Umum ke-15.
Di peringkat Angkatan Muda Keadilan, kami telah bersedia di kesemua 222 Parlimen kerana KEADILAN mempunyai 222 Cabang seluruh Malaysia. Namun bagi mendepani Perikatan Nasional kita perlukan satu gabungan seperti dalam Pilihanraya Umum ke-14 lalu.
Maka isu ini perlu diselesaikan segera dan bukan bertelingkah seperti “gila jawatan”.
Razeef Rakimin
Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan Sabah
Ketua Penerangan AMK Sabah