Home Pendapat Antivaksin buang sikap ego dan menghasut!

Antivaksin buang sikap ego dan menghasut!

Petugas HKL diberi suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Hospital Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2021.

BEBERAPA hari yang lepas, negara kita telah menerima penghantaraan vaksin COVID-
19 bagi memulakan program immunisasi COVID-19. Pasukan Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) telah membuat perancangan yang rapi untuk memulakan program
immunisasi COVID 19 kebangsaan kepada rakyatnya secara berperingkat. Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan merupakan individu yang pertama menerima suntikan vaksin tersebut bermula 24 Februari 2021.

Pemberian vaksin kepada kumpulan sasar ini terbahagi kepada tiga fasa. Fasa pertama bermula Februari sehingga April 2021 yang melibatkan kumpulan utama petugas kesihatan kerajaan dan swasta serta petugas barisan hadapan yang merangkumi perkhidmatan penting dan pertahanan. Fasa kedua bermula April sehingga Ogos
2021, melibatkan kumpulan baki petugas kesihatan serta perkhidmatan penting dan
pertahanan, termasuk warga emas berumur 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi
mengalami penyakit kronik dan orang kelainan upaya (OKU).

Manakala fasa ketiga bermula Mei 2021 sehingga Februari 2022 memfokuskan penduduk berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara) serta keutamaan kepada penduduk di zon merah, zon kuning dan kemudian zon hijau. Namun disebalik program immunisasi COVID 19 kebangsaan ini, masih wujud golongan yang masih tegar dengan sikap ego mereka menafikan kebenaran dan kebaikan disebalik program vaksinasi. Bahkan golongan ini berterusan menghasut masyarakat awam yang kekurangan ilmu berkaitan vaksin dengan memomokkan keburukan vaksin COVID 19.

Agama Islam menerapkan konsep penjagaan diri daripada sikap yang buruk dan
tercela. Syeikh Abdul Kadir Al-Mandili dalam kitabnya Penawar Hati menukilkan lidah
hendaklah dipelihara daripada perkara yang dilarang. Antaranya dengan tidak berdusta, mengumpat, memungkiri janji, bertelagah dan mengadu domba. Abu Said Al-Khudri RA menceritakan bahawa manusia itu berpagi-pagian lagi, semua anggotanya bersegera kepada lidah dan berkata kepadanya: dengan nama Allah, kami menghendaki kamu betul atas petunjuk.

Kerana sesungguhnya jika engkau lurus, nescaya kami lurus dan jika engkau
bengkok, nescaya kami bengkok. Sifat ego atau kadangkala disebut sebagai sombong, angkuh, dan keras kepala merupakan sifat iblis sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:  “Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” (Al-A'raf: Ayat 16-17) 

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa kekufuran iblis bukanlah kerana
kejahilannya, akan tetapi kerana sikap ego, keras kepala dan sombong. Sikap ini juga ada
pada diri manusia yang hatinya sudah keras, tidak boleh menerima nasihat, dan sukar
diperbaiki kerana hatinya sudah sedemikian kerasnya. Iblis merasakan dirinya lebih mulia
daripada Nabi Adam AS kerana dia diciptakan daripada api sedangkan Adam diciptakan
daripada tanah. Iblis berkeras kepala dan tetap berdegil tidak mahu tunduk kepada perintah Allah SWT untuk tunduk kepada Nabi Adam AS. Sikap keras kepala ini sebenarnya beriringan dengan sifat sombong, bongkak, takbur dan ego. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Orang laki-laki yang paling dibenci oleh Allah ialah
orang yang keras kepala lagi suka bertengkar.” (Hadis Riwayat Muslim) 

Sikap ego ini seperti pokok kejahatan dalam hati manusia kerana akan melahirkan
lebih banyak sikap tercela yang lain seperti sikap pemarah, dendam, susah terima kebenaran, bahkan boleh menyebabkan kezaliman sesama manusia. Kesemua sikap tercela (mazmumah) ini amat dibenci oleh Allah SWT dan merupakan salah satu sikap bakal penghuni neraka. Sabda Nabi SAW maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji daripada kesombongan.” (Hadis Riwayat Muslim) 

Sikap menghasut juga merupakan sikap Iblis yang tercela. Ini termasuklah menfitnah,
memujuk dan membisik (percakapan hati yang tiada manafaat dan kebaikan). Sikap ini
banyak dinukilkan di dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman: “Dan katakanlah (wahai Muhammad SAW) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang
kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” (Al-Isra': Ayat 53) 

“(Yang demikian) kerana Allah hendak menjadikan hasutan Syaitan itu sebagai satu fitnah
cubaan bagi orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka, dan yang
hatinya keras membatu; dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam
pertentangan yang jauh daripada kebenaran.” (Al-Hajj: Ayat 53) 

Situasi terkini di Malaysia hangat diperkatakan golongan yang menolak vaksin
COVID 19 dengan alasan yang tidak berfakta dan jelas. Walaupun pelbagai forum, webinar, sesi dialog serta penerangan dilakukan oleh pihak kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan pakar-pakar perubatan, golongan tersebut tetap berdegil. Sikap ego ini bertambah buruk dengan sikap menghasut yang akhirnya akan mengelirukan orang ramai. Secara tidak langsung, ini akan menyebabkan perpecahan dan kecelaruan dalam masyarakat.

Firman Allah SWT: “Kalaulah mereka keluar bersama kamu, tidaklah mereka menambahkan kamu melainkan kerosakan, dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan di antara kamu, (dengan tujuan) hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam kalangan kamu; sedang di antara kamu ada orang yang suka mendengar hasutan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.” (At-Taubah: Ayat 47) 

Jika kita tidak membantu kerajaan dalam membendung wabak COVID-19 ini, janganlah pula kita menjadi orang yang menyebarkan fitnah dan menghalang usaha menyelamatkan nyawa penduduk Malaysia ini dengan menyebarkan dakyah dan fakta mitos yang tiada asasnya. Marilah kita menyokong dan bersatu padu dalam membendung wabak ini daripada merebak ke seluruh Malaysia. Kita pernah hampir menang, kita mesti menang!!.

Dr Muhamad Rafiqi Hehsan
Pensyarah Perubatan Pelatih (Anaesthesiology)
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, USIM

Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian,
Universiti Sains Islam Malaysia.