Home Pendapat Khitan kanak-kanak perempuan di Malaysia tidak sama dengan FGM

Khitan kanak-kanak perempuan di Malaysia tidak sama dengan FGM

Polis masih berusaha mengesan mayat bayi lelaki yang ditanam seorang lelaki di kawasan tanah perkuburan di Bagan Dalam, dekat sini dalam kejadian awal pagi Jumaat.
Gambar hiasan

MUTAKHIR  ini, negara kita dikejutkan dengan pandangan antagonis segelintir masyarakat tentang isu khitan kanak-kanak perempuan. Mereka menyatakan bahawa khitan kanak-kanak perempuan adalah tidak perlu kerana boleh mengundang bahaya kepada kesihatan kanak-kanak perempuan terbabit. Mereka mengaitkan amalan khitan kanak-kanak perempuan dengan amalan yang dinamakan sebagai Female Genital Mutilation atau ringkasnya FGM.

FGM ini merupakan amalan yang telah diharamkan ole beberapa pihak antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan dunia (WHO) dan United Nation (UN). Isu khitan ini menjadi bualan hangat dan juga topik perbincangan bilamana khitan kanak-kanak perempuan yang diamalkan di Nusantara ini disamakan dengan amalan FGM dan cuba untuk mengharamkan amalan khitan kanak-kanak perempuan ini di Malaysia.

Khitan kanak-kanak perempuan merupakan amalan yang diamalkan oleh penduduk
Islam di Malaysia semenjak zaman berzaman. Amalan ini selalunya dilakukan dalam masa
beberapa hari sehingga beberapa bulan selepas kanak-kanak ini dilahirkan. Selalunya ia
melibatkan sedikit goresan atau sedikit perapian dilakukan dibahagian atas klitoris kanak-
kanak tersebut.

Sekiranya dilakukan oleh mereka yang berpengalaman dan mempunyai
kemahiran dalam bidang ini, prosedur ini tidak membahayakan dan bahagian yang luka
tersebut selalunya pulih dalam masa kurang daripada seminggu. Keperluan antibiotik ataupun simptom kesakitan yang berterusan hampir tidak berlaku jika dilakukan oleh mereka yang terlatih dan berpengalaman.

Pada era 80-an dan 90-an khitan ini dilakukan oleh bidan-bidan kampung tetapi
selepas itu, khitan kanak-kanak perempuan ini dilakukan oleh doktor-doktor dipusat bersalin swasta ataupun diklinik-klinik swasta. Pada kebiasaannya amalan khitan di Malaysia ini terbukti tidak mendatangkan mudarat pada jangka panjang.

Kajian yang dilakukan oleh para pakar obstetrik dan ginekologi di Kelantan yang diterbitkan pada tahun 1999 dalam jurnal Reproduktif Health Matters ke atas 262 wanita yang mengaku pernah dikhitankan semasa kecil yang hadir ke bilik bersalin mendapati tidak terdapat kecacatan ataupun tanda-tanda yang sebarang tisu telah dibuang pada para wanita ini. Para wanita ini juga tidak melaporkan sebarang simptom yang menunjukkan kejangalan di dalam hubungan kelamin suami isteri.

Walau bagaimanapun, amalan Female genital Mutilation (FGM) yang diamalkan oleh puak
pribumi di Afrika yang memotong alat genital perempuan menyebabkan kecacatan kekal
kepada genital perempuan dan membawa kemudaratan jangka pendek dan jangka panjang. Kaedah FGM melibatkan pemotongan sebahagian besar bahagian kemaluan wanita dan mencederakan organ kemaluan wanita tanpa sebarang sebab perubatan.

Perbuatan ini tidak mendatangkan kebaikan kepada wanita. Malah boleh menyebabkan pendarahan yang teruk, masalah semasa kencing dan kemudiannya boleh menyebabkan cyst, jangkitan kuman, komplikasi semasa melahirkan anak dan boleh meningkatkan risiko kematian kepada anak yang dilahirkan. Lebih 200 juta wanita telah menjalankan FGM di 30 negara di Afrika, negara timur tengah dan negara di Asia.

Pertubuhan Kesihatan dunia menentang semua kaedah FGM kerana FGM menzalami dan memudaratkan. Kos perubatan merawat komplikasi FGM di 27 negara tertinggi yang melakukan FGM menelan belanja sehingga USD 1.4 bilion setiap tahun. Amalan ini memberi impak negatif yang serius kepada golongan wanita yang telah dilakukan FGM ini. Hubungan suami isteri terjejas terutamanya bagi pihak ister, yang mana mereka tidak dapat menikmati hubungan tersebut dengan selesa dan baik.

Antara figura terkenal yang lantang menyuarakan tentangan terhadap FGM ini adalah model Waris Dirie dan Iman dari Somalia. Mereka berdua melalui FGM dan menceritakan
pengalaman ngeri mereka di media masa antarabangsa. Mereka Berjaya mendapatkan
sokongan daripada United Nation dan juga WHO dimana amalan FGM ini diharamkan.

Amalan perbuatan berkhatan ini sudah lama menjadi amalan masyarakat Arab sejak zaman Nabi Ibrahim AS. Bagaimanapun apabila islam didatangkan di tanah Arab, amalan yang melampau seperti memotong semua bahagian klitoris dan bahagian kemaluan yang lain dilarang. Rasulullah SAW menggariskan beberapa kaedah berkaitan dengan isu ini.

Bagi perempuan disunatkan agar dinipiskan atau dikemaskan sahaja, dan jangan melampau-lampau dalam memotong seperti amalan female genital mutilation
yang mana sehingga merosakkan dan mencacatkan klitoris. Bahkan perbuatan seperti itu
diharamkan dalam Islam. Islam juga mengharamkan FGM dimana Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.” Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunan (no. 5271).

Islam juga memandang serius tentang isu mengkhitan lelaki dan wanita yang betul. Kita
hendaklah bersikap adil dalam segala urusan dalam kehidupan. Islam menentang kezaliman kepada kaum wanita serta kepada mereka yang memperlekehkan Syariat Islam dan pengamalannya. Setelah meneliti beberapa pendapat dan juga pengalaman para doktor, ibu-bapa yang melakukan khitan kanak-kanak ini, kami berpendapat yang khitan kanak-kanak perempuan yang diamalkan di Malaysia sama sekali berbeza dengan FGM daripada segi sejarah, amalandan juga hampir tiadanya mudarat yang berkekalan setakat yang diperhatikan.

Persidangan meja bulat yang dianjurkan oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dengan
beberapa pihak yang bekepentingan juga membincangkan tentang isu ini dan rumusan
persidangan ini disiarkan dalam berita harian dalam ruangan agama yang bertarikh 22
Februari 202. Antara rumusannya adalah khitan kanak-kanak perempuan di Malaysia ini tidak mempunyai persamaan dari segi prosedur dan juga mudarat seperti FGM dan tidak wajar disamakan dengan amalan FGM yang menzalimi wanita itu.

Pandangan ini juga dikongsi oleh Dr Murizah pakar perunding obstetrik dan ginekologi yang menegaskan dalam laman Samudera pada 19/2/21 yang khitan kanak-kanak perempuan yang diamalkan di Malaysia ini tidak boleh disamakan dengan FGM. Beliau menegaskan bahawa usaha menyamakan amalan khitan ini dengan FGM dan juga untuk mengharamkan amalan khitan di Malaysia ini adalah tidak wajar.

Menyokong pendapat Dr Murizah ini adalah Pegawai Perubatan Umum, Dr Siti Nurhayati
Adznan menegaskan khitan perempuan tidak mendatangkan mudarat di laman Samuderanya. Beliau yang berpengalaman selama 10 tahun didalam bidang ini langsung tidak bersetuju khitan ini disamakan dengan FGM.

Kami, pihak Papisma menyambut baik cadangan beliau dimana amalan khitan perlu
dilakukan oleh mereka yang terlatih dalam bidang perubatan dan perlu ada standard prosedur yang perlu diikuti untuk terus memastikan amalan khitan ini dilakukan oleh mereka yang terlatih, berpengalaman dan berkekalan selamat. Pihak Papisma ingin mencadangkan supaya JAKIM menubuhkan satu jawatan kuasa dikalangan pakar dalam khitan kanak-kanak perempuan ini untuk membuat modul dan garis panduan khitan kanak kanak perempuan di Malaysia.

Dr Rosnani binti Zakaria. Pakar Perubatan Keluarga.
Timbalan Presiden II, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA),

Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian, USIM,
Exco Wanita, Remaja dan Kanak-kanak (WARAK), PAPISMA.