Home Ekonomi Setahun Malaysia Prihatin: Pakej rangsangan pacu ekonomi lebih baik

Setahun Malaysia Prihatin: Pakej rangsangan pacu ekonomi lebih baik

Pemandangan ibu kota Kuala Lumpur . foto FAREEZ FADZIL, 03 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat-peringkat oleh kerajaan akan kembali memacu pertumbuhan ekonomi pada tahun ini dan berada dalam keadaan lebih baik pada tahun 2022.

Meskipun negara masih bergelut menangani pandemik Covid-19 lebih setahun lalu, tetapi bezanya pada tahun ini negara sudah menerima vaksin dan program vaksinasi fasa pertama sudah pun berjalan sekarang.

Program vaksinasi negara dijangka selesai pada suku pertama 2022.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, program vaksinasi yang bermula pada 21 Februari lalu memberi harapan tinggi bagi pemulihan ekonomi selepas ekonomi merudum pada tahun lalu.

Ekonomi negara menguncup sebanyak 5.6% pada tahun 2020 disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Afzanizam berkata, walaupun pertumbuhan jangka pendek pada tahun 2021 akan dipengaruhi oleh pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat, namun kesannya tidak seteruk yang dialami pada tahun 2020.

Jelasnya, impak pandemik Covid-19 ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di seluruh peringkat global.

Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

Namun sebagai negara yang berdagang, sudah tentu ekonomi Malaysia akan mendapat manfaat dengan pemulihan permintaan global berikutan program vaksinasi yang dilaksanakan secara besar-besaran dan pelan rangsangan ekonomi di negara-negara di dunia.

Di peringkat tempatan, pertumbuhan ini juga akan disokong oleh perubahan perbelanjaan sektor awam dan swasta berikutan sokongan yang berterusan daripada langkah-langkah dasar termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Belanjawan 2021 dan Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

Perdana Menteri ketika menyampaikan Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin semalam berkata, jika dibandingkan pada April 2020, keadaan ekonomi negara kini kian bertambah baik.

Pada tempoh itu, ekonomi menguncup 28.7 peratus, tetapi pada bulan Disember 2020, ekonomi negara hanya menguncup 1.7 peratus.

Malah, kadar pengangguran juga telah menurun daripada 5.3 peratus pada bulan Mei 2020 kepada 4.8 peratus pada bulan Disember 2020.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menambah, dalam tempoh PKP kali kedua ini, kerajaan telah berusaha untuk mengimbangi antara kepentingan kesihatan awam dan keperluan pertumbuhan ekonomi, justeru, kerajaan memberi kelonggaran dengan membuka lebih banyak aktiviti ekonomi berbanding PKP kali pertama dengan syarat pematuhan kepada SOP yang ketat.

Semua aktviti ekonomi dalam sektor perkhidmatan, peruncitan dan pembinaan dibenarkan beroperasi pada kapasiti 100 peratus dengan SOP ketat yang perlu dipatuhi. Kebenaran untuk beroperasi bagi aktiviti-aktiviti ekonomi ini memberi peluang kepada syarikat-syarikat untuk terus menjana pendapatan.

Menurut laporan World Economic Outlook oleh Tabung Kewangan Antarabangsa, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia pada tahun 2021 diunjur kembali pulih pada kadar 5.5 peratus, manakala perdagangan dunia turut diunjur kembali berkembang pada kadar 8.1 peratus.

Sejajar dengan pemulihan aktiviti ekonomi dan perdagangan dunia, ekonomi negara turut dijangka kembali pulih pada tahun 2021.

Tempoh setahun Malaysia Prihatin biar pun geitr namun kesungguhan kerajaan memulihkan kesan pandemik Covid-19 mula menampakkan hasil.

Badan-badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia pada bulan Januari 2021 mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang pada kadar 7 peratus dan 6.7 peratus.

Ditanya sejauh mana penutupan sektor pelancongan menjejaskan pemulihan ekonomi negara, Mohd Afzanizam berkata, walaupun dunia perlu mengamalkan kehidupan norma baharu namun ia sukar bagi sektor ini.

Biarpun ramai yang mempromosikan teknologi digital tetapi sektor ini tidak boleh.

“Mana orang boleh melancong secara digital, kita tetap mahu berjalan apabila melancong. Tak boleh melihat negara orang melalui gajet sahaja,” ujarnya.

Walaaupun terdapat kekangan pada masa ini, tetapi sekarang adalah masa yang sangat sesuai bagi sektor ini menambah baik operasi keperluan-keperluan sektor pelancongan agar ia lebih bersedia apabila pintu masuk Malaysia dan negara-negara lain dibuka nanti.

Mohd Afzanizam berkata, sektor ini perlu meningkatkan latihan, operasi dan pengendalian kos serta menerokai pendigital dalam sektor pelancongan.

Dengan menambah baik operasi ini, pemain-pemain industri akan lebih bersedia apabila sektor ini dibuka nanti.

“Setelah sekian lama ditutup, sektor ini pastinya menjanjikan sesuatu yang mengujakan apabila ia kembali dibuka. Pastinya berlaku lambakan dalam sektor ini.

“Rugilah jika pada masa ini peserta-peserta sektor tidak mengambil peluang menambah baik operasi masing-masing. Gunakan dana yang ditawarkan untuk memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang ada ,” katanya. – MalaysiaGazette