Home Nasional Ais tingkap, air kelapa jadi tumpuan warga Pulau Pinang ketika musim panas

Ais tingkap, air kelapa jadi tumpuan warga Pulau Pinang ketika musim panas

Air sarbat atau lebih popular dengan nama ais tingkap dalam kalangan warga Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Minuman unik air sarbat atau lebih dikenali dengan ais tingkap bukan saja menjadi tumpuan pelancong malah mampu memikat warga Pulau Mutiara untuk menghilangkan dahaga tatkala musim panas melanda negara.

Mana tidaknya, perniagaan yang sudah beroperasi hampir 102 tahun itu mempunyai rasa berbeza berbanding ais sirap lain kerana mengandungi pelbagai gabungan ramuan yang dikatakan mampu menyejukkan suhu badan.

Air sarbat jadi tumpuan warga Pulau Pinang ketika musim panas.

Pemiliknya Mohamed Almi Seeni Mohamed, 34, berkata, air sarbat mendapat permintaan luar biasa sejak dua minggu lalu susulan cuaca panas terik.

Mohamed Almi.

Jelasnya, jualan air itu antara 300 ke 400 gelas sehari namun pada musim panas ia mampu mencecah lebih 500 gelas setiap hari.

“Air sarbat ini adalah campuran air dengan isi kelapa, getah anggur, biji selasih, akar sarbat serta sirap gula yang dilakukan keluarga kami secara turun temurun sejak tahun 1919.

Resipi ais tingkap sejak tahun 1919 bukan saja menjadi pilihan pelancong malah memikat warga Pulau Pinang ketika musim panas.

“Selain menyejukkan badan, campuran air akar sarbat dipercayai boleh melegakan sakit tekak jika diminum tanpa ais,” katanya yang mengusahakan perniagaan di Lebuh Tamil di sini hari ini.

Air sarbat dijual pada harga RM2.50 hingga RM4 segelas mengikut campuran perasa laici dan lemon.

Getah anggur antara ramuan dalam air sarbat atau ais tingkap yang diusahakan Mohamed Almi bersama adik beradiknya.

Sementara itu, peniaga kelapa pandan di Lorong Abu Siti turut menjadi tumpuan rakyat negeri tersebut.

P. Rangan,61, berkata, dia mampu menjual kira-kira 300 biji kelapa sehari sejak kebelakangan ini.

P. Rangan

“Setiap kali musim panas saja memang ramai orang akan memenuhi gerai saya bagi menikmati air kelapa biasa serta kelapa pandan.

“Kadang-kadang tak menang tangan nak uruskan jualan air kelapa pada musim panas ini tetapi ini saja sumber pendapatan saya.

Air kelapa turut menjadi tumpuan warga Pulau Mutiara tatkala musim panas melanda.

“Selain itu, keuntungan pada musim panas ini akan digunakan bagi menampung perbelanjaan ketika kekurangan pelanggan pada musim hujan,” ujarnya yang menguruskan perniagaan bermula jam 8 pagi hingga 6 petang. – MalaysiaGazette