KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah berjaya mengagalkan cubaan membawa keluar buah durian jenis Musang King ke Indonesia.
Difahamkan, kejadian berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pemeriksaan dilakukan ke atas seorang warganegara Malaysia.
Pemangku Pengarahnya, Zamri Hashim berkata, hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan pada pukul 12.30 tengahari mendapati empat kotak yang mengandungi 16 biji buah durian seberat 56 kilogram bernilai RM6,000 telah ditahan oleh pegawai MAQIS.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati buah durian tersebut dipercayai untuk dihantar kepada majikannya di Indonesia.
“Namun, kesemua buah durian tersebut telah dirampas kerana gagal mengemukakan permit eksport dan sijil fitosanitasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perbuatan mengeksport apa sahaja tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisma tanpa permit adalah salah mengikut Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali,” ujarnya.
Langkah ini bagi menjamin keselamatan pertanian dan makanan negara serta ia juga bertujuan untuk memastikan makanan yang keluar ke Malaysia mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan. -MalaysiaGazette