Home Utama Demi cinta, wanita serah wang simpanan ibu RM418,400 kepada kekasih

Demi cinta, wanita serah wang simpanan ibu RM418,400 kepada kekasih

safieyillias94 Instagram Live IG Live Safiey Illias children sexual grooming Neelofa raya MCO 3.0 SOP TTDI Taman Tun Dr Ismail family Covid-19 vaccine The Kuala Muda District Police Chief said that the nurse who had received Covid-19 vaccination on 12 March died of heart attack yesterday
Foto hiasan

KUANTAN – Penangan cinta menyebabkan seorang wanita tergamak mengeluarkan wang simpanan ibunya berjumlah RM418,400 untuk diserahkan kepada kekasih yang hanya dikenali menerusi aplikasi media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berusia 28 tahun itu mendakwa berkenalan dengan suspek lelaki yang kononnya ahli perniagaan Melayu menetap di Perancis menerusi aplikasi CINTAKU pada 22 Dis lalu.

“Mangsa mendakwa telah bertukar nombor telefon selain turut berkongsi nombor akaun banknya kerana suspek berhasrat menghantar hadiah termasuk wang tunai sebagai tanda perkenalan mereka pada 26 Dis 2020, diikuti gambar sekeping cek menerusi aplikasi WhatsApp.

“Wanita itu seterusnya menerima e-mel mendakwa dirinya akan menerima RM89,700 menerusi transaksi pemindahan wang luar negara, namun perlu membuat bayaran RM2,000 sebelum wang itu boleh dikreditkan ke akaun mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa yang tidak bekerja itu mendakwa sering menerima pesanan WhatsApp daripada suspek memintanya membuat lebih banyak bayaran atas pelbagai alasan berkaitan hadiah wang tunai itu, dengan pesanan terakhir diterima pada 19 Feb lalu.

Mangsa mendakwa, apabila dihitung semula, dirinya telah membuat 44 transaksi pemindahan wang ke sembilan akaun berbeza diberikan suspek, dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM418,400.

Dia yang akhirnya berasa ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut, kira-kira 188 kilometer dari sini dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA