
PUTRAJAYA – Kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (RO) di beberapa negeri menunjukkan penurunan pada masa ini .
Sekiranya dapat dikekalkan dalam tempoh dua minggu, ia akan melandaikan keluk kes jangkitan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, semalam sebanyak 1,745 kes baharu dilaporkan dengan nilai RT 0.81 iaitu kurang daripada unjuran garisan zon merah yang diunjurkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Di Selangor dan Johor nilai RT menunjukkan penurunan dan amat memberangsangkan. Jadi kita perlu pertahankan jumlah RT itu bagi mengekalkan trend penurunan kes.
“Selain itu, di Terengganu kita lihat nilai RT sudah mencapai 0.51 dan jika kita dapat kekalkan dalam tempoh dua minggu, sudah tentu ia akan melandaikan keluk kes jangkitan di negeri berkenaan,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19, di sini kementeriannya di sini hari ini.
Justeru, Noor Hisham berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama untuk terus mematuhi prosedur operasi standard yang disarankan oleh pihaknya bagi meneruskan trend penurunan jangkitan kes wabak tersebut di negara ini. – MalaysiaGazette