Home Dunia New Zealand dilanda gempa bumi berskala 8.1 Richter, penduduk ke kawasan tinggi

New Zealand dilanda gempa bumi berskala 8.1 Richter, penduduk ke kawasan tinggi

WELLINGTON – Gempa bumi berskala 8.1 Richter menggegarkan persisir pantai New Zealand hari ini dan mencetuskan amaran tsunami sepanjang Pasifik selatan.

Gempa bumi terbesar dalam beberapa siri gegaran berlaku di rantau tersebut untuk tempoh beberapa jam, termasuk dua gempa bumi awal pada skala 7.4 dan 7.3 Richter.

Gempa bumi itu mencetuskan amaran kepada sistem yang menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kelam kabut apabila orang ramai berpusu-pusu ke tempat yang tinggi walaupun ia kelihatan tidak memberi ancaman kepada nyawa dan infrastruktur utama.

Ini kerana gempa bumi itu berpusat di kawasan terpencil.

Gegaran terbesar berpusat kira-kira 1,000 kilometer di luar pantai New Zealand.

Pusat salah satu daripada gempa bumi terawal berada lebih dekat dengan New Zealand dan ia menyebabkan ramai yang tejaga daripada tidur kerana terasa gegaran untuk tempoh yang panjang.

“Harap semuanya OK,” kata Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dalam laman Facebook.

Pihak berkuasa pertahanan awam New Zealand memberitahu orang ramai di beberapa kawasan di pantai timur Pulau Utara bahawa mereka perlu pergi ke kawaasan yang lebih tinggi dengan segera dan tidak duduk di rumah.

Katanya, terdapat kemungkinan berlaku tsunami.

Sistem Amaran Tsunami Amerika Syarikat (AS) juga memberi amaran bahawa gempa bumi yang lebih besar boleh  menyebabkan tsunami antara satu hingga tiga meter di French Polynesia dan ombak setinggi satu meter di Niue, New Caledonia dan Kepulauan Solomon.

Kajian Geologi AS berkata, gempa bumi yang lebih besar berpusat di kawasan terpencil, Pulau Kermadec dengan kedalaman 19 kilometer.

Beberapa jam sebelum itu, para pegawai di New Zealand mengeluarkan amaran tsunami di kawasan pantai selepas gegaran pertama yang lebih kecil melanda partai timur laut pada jam 3 pagi.

Tidak terdapat laporan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda dan amaran tersebut ditarik balik sebelum gempa yang lebih besar melanda. – MalaysiaGazette.