KUALA LUMPUR – Malaysia telah berjaya mengharungi cabaran pandemik Covid-19 dengan baik hasil daripada pelbagai inisiatif yang berjaya dirancang dan dilaksanakan dalam memastikan kesinambungan pertumbuhan ekonomi, pewujudan peluang pekerjaan serta menjamin kesejahteraan rakyat.
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan telah membentuk asas kepada pemulihan dan pertumbuhan semula produktiviti dan ekonomi Malaysia terutama pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM305 bilion yang dijangka melonjakkan kembali pertumbuhan ekonomi pada tahun 2021.
Beliau berkata, agar Malaysia perlu lebih agresif dalam merealisasikan penggunaan teknologi digital untuk meningkatkan lagi produktiviti negara.
Langkah kerajaan bagi memperkasa ekonomi digital melalui inisiatif-inisiatif yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) merupakan salah satu pemacu utama bagi peningkatan produktiviti dan diharapkan dapat memenuhi hasrat kerajaan mencapai 22.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar yang akan disumbangkan oleh ekonomi digital.
Menurut beliau, ekonomi digital merupakan pemangkin yang bukan hanya mempercepatkan pemulihan, tetapi juga mentransformasikan ekonomi Malaysia.
Beliau menyeru peniaga-peniaga untuk melabur dalam teknologi digital, sama ada melalui perisian, perkakasan atau keselamatan digital bagi menyokong model perniagaan mereka.
Ia juga perlu difokuskan kepada aktiviti ke arah meningkatkan produktiviti pekerja dan organisasi.
”Penyampaian peraturan kerajaan seperti urusan perlesenan, garis panduan serta data-data yang boleh memudahkan urusan peniaga dan rakyat perlu didigitalkan. Ianya termasuklah pelbagai kandungan yang perlu didigitalkan dengan memaparkan di laman web dalam bentuk video yang digemari rakyat kerana senang diakses menggunakan peranti telefon mudah alih mereka.
”Pemakluman garis panduan di laman web turut disarankan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), supaya maklumat pematuhan peraturan lebih telus,” katanya lagi.
Di samping itu, Abdul Latif menyarankan supaya penjawat awam, peniaga dan rakyat amnya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknologi digital.
“Kemahiran menggunakan peranti elektronik untuk melayari dan mencari maklumat dari pelbagai sumber di Internet, amatlah mustahak dan bermanfaat.
”Persoalannya bagaimana kita mencari dan menganalisa maklumat yang ada untuk memperbaiki atau memberi nilai tambah kepada perkhidmatan awam, perniagaan dan diri kita. Kemahiran ini yang boleh meningkatkan produktiviti individu, organisasi dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette