KUALA LUMPUR – Keputusan untuk membuka atau menutup semua sekolah di negara ini dibuat oleh pengurusan kanan Kementerian Pendidikan serta mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan dan juga Majlis Keselamatan Negara.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menyifatkan keputusan membuka atau menutup sekolah adalah satu tindakan mencabar, namun perbincangan mendalam dengan pihak yang berkenaan membolehkan keputusan dibuat dengan lancar.
“Kami melalui proses perbincangan yang mendalam, kita nak buka atau tutup itu diteliti satu persatu, saya mengambil pendekatan bahawa kita buat keputusan dengan niat yang ikhlas.
“Setiap keputusan yang kita ambil bahawa di luar sana ada anak-anak pelbagai latar belakang sosio-ekonomi. Ada yang risiko kecicirannya amat tinggi dan ada yang mendapat akses dan tidak dapat akses langsung.
“Banyak faktor yang kita ambil kita dan keselamatan adalah komponen yang paling penting sebab itu kita nak buat keputusan ini kita bincang di peringkat MKN, KKM,” katanya dalam sidang media khas Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya.
Beliau berkata demikia ketika ditanya mengenai keluhan ibu bapa yang mendakwa Kementerian Pendidikan membuat keputusan mengejut dengan membuka semula sekolah bagi pelajar Tahun Satu dan Tahun Dua pada 1 Mac lalu.
Manakala 8 Mac ini pula kepada pelajar Tahun Tiga hingga Tahun Enam.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, pihak kementerian mengambil kira pengalaman mengurus pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketika membuka semula sekolah pada Jun tahun lalu apabila kementerian mahu memulakan sesi persekolahan baru-baru ini.
“Masa buka sekolah yang pertama dulu, ia tidak mudah sebab kita tidak pernah buka sekolah dalam keadaan pandemik. Sebab itu kita rangka SOP dan diperincikan satu persatu. Kita juga buat dengan berdasarkan kekangan yang ada di sekolah kerana setiap sekolah masalahnya tidak sama.
“Kini, sebahagian mereka termasuk murid sudah memahami SOP. Namun, cabaran utama kita sekarang adalah berkaitan isu penyuraian.
”Dalam sekolah okay, sewaktu hantar (anak) ke sekolah pun amat tersusun, tapi waktu pulang masih ada yang perlu diperbaiki. Kita lihat, kali ini pun ibu bapa juga hanya boleh hantar anak di pagar sekolah, berbeza dengan dulu sampai ke dalam kelas. Saya kagum dengan pematuhan oleh ibu bapa kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette