
KUALA LUMPUR – Nasib para jurulatih tempatan yang kerap dianaktirikan pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga M) menjadi antara wawasan besar Syed Yazid Syed Omar sekiranya dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Kata anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur ini, lebih ramai jurulatih yang berlesen dan berkelayakan profesional diperlukan dan mewujudkan Akademi Khas Jurulatih Bola Sepak antara perancangan yang akan diperjuangkannya bersama FAM.
“Kebanyakan pasukan Liga M memilih untuk mencapai kejayaan segera dengan bertumpu kepada jurulatih asing semata-mata sampai jurulatih tempatan macam anak tiri dan kian terpinggir.
“Jurulatih tempatan ini sudah mempunyai lesen pro tetapi tempat mereka dalam pasukan-pasukan Liga M kerap dinafikan. Kecenderungan sebegini perlu dihentikan,” katanya kepada Malaysiagazette di sini.
Beliau yang juga Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL) dicalonkan dalam kalangan 17 nama bagi merebut lapan kerusi Ahli Exco (lelaki) FAM menjelang Kongres pemilihan penggal 2021-2025 pada 13 Mac ini.
Enam penyandang Ahli Exco FAM ialah Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya, Datuk Jefferey Low Han Chau, Christopher Raj Aralanthu, Md. Dali Wahid, Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar dan Datuk Aminuddin Omar.
Pencabar lain termasuk Datuk Seri Shahril Mokhtar, Saaran Nadarajah, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, Datuk Shaari Mat Hussain, Abdul Aziz Yeop Jamaludin, Zulkefly Yahya, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad, Mohd. Firdaus Ahmad, Mohd. Yusuri Yusof dan Datuk Kamarudin Hassan.

Syed Yazid, 43, berkata, penubuhan Akademi Khas Jurulatih Bola Sepak juga jelasnya, akan membuka satu lagi alternatif peluang pekerjaan baharu kepada para jurulatih tempatan supaya ilmu, bakat, pengalaman dan kemahiran mereka mampu diturunkan kepada jurulatih generasi baharu.
“Bola sepak Malaysia juga perlukan lebih ramai jurulatih berlesen pro seperti yang disyaratkan FAM dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dalam melatih pasukan Liga Malaysia.
“Kita tidak mahu lagi ada kes jurulatih tempatan sebab tanpa lesen itu, terpaksa didaftarkan sebagai penolong sahaja dan memberikan laluan kepada jurulatih import menjadi ketua jurulatih sesebuah pasukan,” kata pemilik sebuah syarikat logistik ini.
Syed Yazid menambah, beliau tidak sesekali hanya menyertai persaingan kerusi Exco FAM secara semberono atau tanpa ilmu dan pengalaman bola sepak di dada.
Malah beliau yang juga bekas pengurus pasukan Piala Presiden dan Piala Emas Raja-raja Kuala Lumpur mahu berkongsi pengalaman yang dimilikinya selama ini dalam dunia bola sepak.
Beliau pernah menjadi pemangku jurulatih Liga Perdana dan pengurus pasukan Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur serta memiliki Lesen Kejurulatihan C.
Syed Yazid turut menggariskan berapa wawasan lain sekiranya terpilih Exco FAM antaranya melahirkan pemain negara bertaraf dunia; mewujudkan dan mengenal pasti pembangunan bola sepak dan penubuhan akademi di setiap persatuan bola sepak (FA) selaku ahli gabungan FAM dan memperuntukkan dana kepada FA bagi menguruskan akademi bola sepak
Beliau juga mahu memperjuangkan usaha menaik taraf semua fasiliti FA yang memiliki tiga padang latihan (pasukan Liga Super/Perdana, Piala Presiden dan Belia) kepada yang bertaraf dunia menerusi kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta kerajaan negeri;
Selain itu beliau akan memastikan venue pasukan-pasukan sentiasa bersih dan teratur serta mengikut kriteria FAM selain diselenggarakan dan dibaik pulih demi kebajikan dan keselamatan para pemain, pegawai pasukan dan penonton
“Katakan ‘tidak! kepada pemakaian jersi pasukan luar negara oleh para pegawai dan pemain Liga M dan mereka perlu hadir ke venue atau fasiliti pasukan dengan mempromosikan kit pasukan sendiri atau tempatan lain
“Menomborkan setiap tempat duduk di venue mengikut tiket yang dibeli secara sah, menggiatkan promosi berita-berita Liga M dalam akhbar, radio, TV dan media sosial termasuk yang berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil setiap hari selain bekerjasama dengan pihak sekolah di setiap negeri untuk membenarkan para pelajar mereka datang menonton di venue-venue secara percuma.
“Saya juga mahu melihat gerai jualan jersi pasukan Liga M hanya boleh beroperasi di venue-venue dan larangan keras terhadap pihak selain yang sah dibenarkan yang cuba melakukannya di pekarangan luarnya, mengeratkan kerjasama dan penubuhan serta pembabitan aktiviti banyak kelab penyokong pasukan Liga M dan merealisasikan dan membantu menambah baik Peta Hala Tuju Bola Sepak Negara (F:30) yang dilancarkan FAM pada 2018,” katanya. – MalaysiaGazette