KUALA LUMPUR – Setiap perniagaan pastinya ada rintangan serta cabaran yang perlu ditempuhi walaupun luarannya nampak tenang namun dalamannya hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Seperti yang dilalui oleh seorang ahli perniagaan bernama Rosniwati Beharom, perusahaan produk kesihatan kulit SAAPU yang diusahakannya tidak terlepas daripada asam garam dunia perniagaan sejak dia menceburinya dari 2003 hingga kini.
Daripada perniagaannya berstatus ‘enterprise’ sehinggalah syarikatnya dinaik taraf menjadi Sdn. Bhd., pelbagai cabaran telah pun dilaluinya.
“Kalau nak diimbas semula, saya mula menceburi dunia bisnes ini sejak tahun 2003. Daripada berstatus ‘enterprise’, syarikat saya dinaik taraf menjadi ‘Sdn Bhd’ sejak Januari tahun lalu,” kata wanita berusia 45 tahun ini.
Menurut anak jati Seri Manjung, Perak itu, sebelum memulakan karier perniagaannya, dia hanya mengambil upah menjahit baju dan membantu emaknya berniaga di pasar sahaja.
“Saya dan suami hanya golongan biasa sahaja di mana sebelum berkahwin saya menjahit baju dan membantu emak saya berniaga di pasar awam. Selepas berkahwin dengan suaminya, dia telah berpindah ke Klang, Selangor dan tinggal bersama keluarga mertuanya di sana selama 16 tahun.
“Pada ketika itu, pendapatan saya bersama suami masih tergolong dalam golongan B40. Ketika itu saya telah bekerja di sebuah kilang yang terletak di Shah Alam selama lima tahun sebagai pembantu akaun namun masih mengambil upah menjahit pakaian di rumah dalam masa yang sama,” ibu kepada seorang anak ini.
Rosniwati memulakan karier perniagaannya selepas berhenti kerja dan memberanikan diri menyewa kedai dengan hasil pinjaman yang diperolehi daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Dari situlah bermulanya liku-liku kehidupan saya, suka duka sebagai tauke kedai jahit. Saya telah membuka butik jahitan secara kongsi separuh sewa kedai bersama dengan isteri rakan kepada suaminya yang pada ketika itu mengusahakan butik andaman pengantin.
“Namun begitu, selepas beberapa tahun isteri rakan kepada suaminya itu berniaga, mereka terpaksa menutup kedai mereka kerana masalah keluarga. Disebabkan itu, saya telah mengambil alih perniagaan yang ditinggalkan oleh mereka,” katanya.
Namun segalanya tidak mudah kerana setelah beberapa tahun mengambil alih perniagaan tersebut, Rosniwati telah diuji dengan dugaan yang diturunkan.
“Tahun pertama, kedua dan ketiga, Alhamdulillah perniagaan boleh dikatakan baik. Masuk tahun keempat apabila terlalu banyak sangat saingan dalam bidang andaman dan jahitan maka bermula berlakunya kemerosotan dalam perniagaan saya.
“Pada masa itu banyak orang katering membuat pakej sekali pelamin, baju dan solekan tetapi saya pada ketika itu hanya membuat baju pengantin dan seolkan pengantin sahaja, dan pelamin saya sub pada orang.
“Jadi di situ dengan ilmu yang kurang dan persaingan yang hebat maka andaman pengantin saya merosot dan yang masih boleh bertahan hanya jahitan baju sahaja,” ujarnya.
Selepas lapan tahun mengusahakan kedai menjahit itu, Rosniwati sebelum ini juga telah diduga dengan dugaan susah untuk mendapatkan zuriat selepas 12 tahun berkahwin bersama dengan suaminya.
Namun berkat doa yang tidak pernah putus kepada Allah, dia berjaya juga untuk mendapatkan seorang zuriat perempuan.
Namun ketika di penghujung tahun 2014, wanita ini sekali lagi diuji apabila suaminya diserang penyakit angin ahmar peringkat awal ketika tidur, masalah psoriasis serta gout.
“Semasa dia kena serang itu. tiba-tiba sahaja dia bangun tidur memberitahu kepalanya sakit hendak pecah dan dia tidaknampak apa-apa langsung, mata dia gelap terus.
“Alhamdullillah, ketika di hospital kebetulan pakar mata ada bertugas dan dia dapat rawatan yang cepat, selang beberapa hari dalam wad mata dia sudah mula nampak walaupun masih kabur, seminggu di hospital akhirnya dia dibenarkan keluar.
“Hari pertama masuk hospital berat badan dia lebih kurang 110 kilogram (kg) dan seminggu di hospital berat badan masa discharge 76kg sahaja. Seminggu dia di hospital maka seminggu juga kedai saya tutup sebab saya tiada pekerja masa itu. Saya menjaga suami di hospital kerana dia perlu dibantu untuk bergerak terutama ke tandas.
“Kerana kedai tidak dapat dibuka kerana menjaga suaminya dan suaminya pula terpaksa berhenti daripada kerja, maka pendapatan kami terjejas,” katanya berterus-terang.
Namun selepas serang strok minor, suaminya pula telah disahkan terkena penyakit saraf iaitu Rheumato Attritis (RA) serta penyakit goutnya kian aktif.
“Setiap bulan dia perlu ambil injection khas untuk saraf yang mana satu suntikan itu berharga RM2,000 lebih yang mana perlu membayar RM23,000 pada hospital dan bayaran perlu dibuat sepenuhnya dan bukannya setiap bulan.
“Namun mujur selepas turun naik ke pusat zakat untuk meminta bantuan, pusat zakat sudi untuk meluluskan pembiayaan perubatan buat suaminya dalam tempoh setahun,” katanya sambil meluahkan kesyukuran.
Selepas pelbagai ujian yang dilaluinya, Rosniwati dan suami berpakat untuk menceburi perniagaan lain di bawah syarikat Mawar Shazni Sdn Bhd serta memiliki produk mereka sendiri dikenali SAAPUU.
Produk yang telah dipasarkan mereka sejak bulan Jun tahun lalu telah dijenamakan semula dan dilancarkan sekitar bulan Disember tahun lalu.
Menurutnya, produknya mengandungi pelbagai ramuan asli dan organik antaranya ialah Aloe Vera, Daun Bidara, Curcumin, Minyak Argan serta madu.
Tujuan dia mengeluarkan produk yang bernama SAAPUU ini adalah untuk membantu mereka yang mengalami masalah kulit seperti Psoriasis, eczema, masalah ruam susu dan jangkitan kuman pada kulit.
Selain itu, suaminya merupakan antara testimoni yang terawal kerana mengalami penyakit Psoriasis.
“Psoriasis dia mula di kesan pada tahun 1998 yang mana masa itu dia sendiri pun tak menyedari yang itu adalah psoriasis. Semakin hari kulit dia mengalami kegatalan dan tidak keselesaan terutamanya bila terkena pancaran matahari dan terdedah dengan cuaca yang panas dan berpeluh.
“Jadi inilah salah satu punca dan sebab utama saya mengeluarkan produk SAAPUU ini. Kisahnya bermula semasa suami saya telah menemukan produk yang sesuai digunakan untuk kulit dia yang mana setiap kali menggunakannya kegatalan dan psoriasis dia jarang lagi keluar.
“Selepas suami menggunakan produk itu selama beberapa tahun, tercetuslah idea untuk menghasilkan produk ini agar dapat memberi manfaat kepada orang ramai terutamanya mereka yang menghidap psoriasis,” ujarnya.
Kata Rosniwati, produk yang digunakan suaminya sebelum ini dibuat secara tradisional dan agak leceh serta memakan masa untuk membuatnya. Tempoh penggunaannya juga agak singkat kerana tidak boleh simpan lama dan susah untuk dibawa kemana-mana.
Selepas mereka berbincang, mereka telah bercadang untuk mengeluarkan produk tersebut.
“Kami telah bercadang untuk menjual produk secara online dan dengan adanya teknologi Nano yang sedang berkembang pesat pada masa ini, maka terdetiklah kami untuk menghasilkan produk SAAPUU yang mana bahan-bahannya adalah dari bahan-bahan organik yang saya gunakan sebelum ini untuk kulit suami saya.
“Dan yang paling bagusnya produk ini boleh bertahan selama dua tahun dan mudah untuk digunakan serta senang dibawa ke mana sahaja,” sambil memberitahu produk yang dikeluarkan olehnya itu telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menjalani ujian makmal.
Rosniwati menambah, set rangkaian produk SAAPUU itu dihadirkan dalam dua jenis iaitu dalam bentuk gel sabun dan gel sapu.
Jelasnya, harga untuk dua produk itu dalam lingkungan harga RM150 dan turut dijual secara berasingan untuk dengan harga istimewa.
“Ada yang anggap harga produk ini mahal di saat situasi pandemik Covid-19. Tapi jika mahu dibandingkan dengan kualiti dan manfaatnya, harga yang ditawarkan cukup berbaloi.
“Malah kita juga mahu terus berusaha melakukan penjenamaan untuk produk ini secara habis habisan. Kalau diizinkan saya sendiri mahu digelar Ratu Saapuu. Kita juga ada strategi menawarkan hadiah termasuk wang tunai untuk stokis, agen, dropship dan pembeli,” katanya.
Kepada sesiapa yang ingin menjana pendapatan atau mahu membeli produk tersebut, sila layari sila layari www.saapuu.com. – MalaysiaGazette