Home Seni Hidup Masa cetusan karya 4 anak muda

Masa cetusan karya 4 anak muda

Lagu berjudul Masa dibawakan oleh empat anak muda iaitu Baal, Amzeeq, Yonnyboii dan Izhar.

KUALA LUMPURLagu Masa yang dibawakan oleh empat anak muda iaitu Baal, Amzeeq, Yonnyboii dan Izhar adalah sebuah karya dengan tajuk besar dan boleh dikaitkan dengan pelbagai perkara sekeliling yang kita lakukan dalam urusan harian.

Ini kerana pengurusan masa dalam hidup adalah sangat penting lebih-lebih lagi pada zaman pandemik yang sedang kita hadapi.

Lebih menarik, dari sudut pandang Amzeeq, dia mengatakan anak-anak muda masa kini lebih suka membuang masa dengan melakukan perkara yang kurang berfaedah lalu menjadikan tujuan lagu ini ditulis adalah untuk lebih menggalakkan mereka untuk bertindak keluar daripada kotak malas sementara masih muda.

“Zaman muda ni zaman kena pulun. Biar tak selalu asalkan ada progres, tujuan saya bawakan lagu ini adalah untuk mengajak anak-anak muda lebih bersemangat untuk mengejar cita-cita dan impian mereka dalam apa jua bidang yang diminati” katanya.

Menurut Baal, lagu Masa sangat bersesuaian untuk dijamu kepada para pendengar kerana ia telah disuntik dengan isi tersurat dan tersirat.

Katanya, pendengar sedikit sebanyak dapat menikmati karya karya anak muda yang lebih untuk memberi ikhtibar mahupun nasihat dengan nyanyian.

“Harapan saya dengan lagu Masa ini adalah untuk mengubah persepsi anak-anak muda yang masih mempunyai peluang bagi membentuk kehidupan mereka dengan lebih sempurna kerana mereka mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin yang hebat untuk suatu masa akan datang.

“Bagaimanapun, perubahan perlu dilakukan dengan usaha dan saya berharap lagu Masa dapat membuka ruang-ruang yang baru dan berbaloi” kata Baal.

Sementara itu, Izhar dijemput oleh Baal dan Amzeeq ke studio untuk bekerjasama dalam lagu ini pada 23 Februari tahun lalu dan dia berjaya  menyiapkan penulisan dan rakaman ‘verse’nya pada waktu itu juga.

“Mereka begitu baik sekali dan membuat saya selesa untuk bekerja. Ini adalah pertama kali saya bekerjasama dengan mereka dan saya rasa beruntung dapat meluahkan perasaan saya melalui lagi ini.

“Terima kasih kepada Baal dan Amzeeq kerana sudi mengajak saya untuk berkolaborasi bersama Yonnyboii dan berkerjasama untuk lagu ini” kata Izhar.

Menurutnya, Masa tidak ada kena mengena dengan sesiapa pun antara yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.

Izhar memberitahu, penulisan liriknya hanya menceritakan tentang diri sendiri ketika berada di tempat yang sukar dan menghadapi kekangan hidup susah.

“Harapan saya untuk lagu Masa cukuplah buat saya gembira kalau keluarga saya dan rakan-rakan saya suka, dan harapan saya agar lagu ini diterima oleh semua dan mendapat sambutan dari peminat scene hip hop ‘underground’ Malaysia” katanya.

Lagu Masa kini sudah tersedia di semua pelantar pengstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. – MalaysiaGazette