Home Nasional Imam, bilal patut diberi keutamaan terima suntikan vaksin

Imam, bilal patut diberi keutamaan terima suntikan vaksin

Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech.

KUALA LUMPUR – Selain menteri dan timbalan menteri, kerajaan sewajarnya memberi keutamaan kepada imam, bilal dan pengurusan masjid untuk menerima suntikan awal vaksin Covid-19.

Ini kerana, mereka merupakan warga berusia dan lebih dekat dengan rakyat, kata Ahli Parlimen Belia Malaysia Kuala Lumpur, Abdul Hakim Hafizi Hamizan.

Beliau berharap kerajaan akan memberi pertimbangan pandangan itu demi kebaikan semua rakyat.

”Dengarilah dan ambil berat akan keluh kesah dan suara rakyat, utamakan pada mereka yang berada dalam golongan yang berisiko tinggi dan mudah dijangkiti. Lindungi diri lindungi semua,” katanya dalam kenyataan di sini.

Program pelaksanaan vaksinasi di negara ini dilaksanakan melalui tiga fasa.

Fasa pertama membabitkan seramai 571,802 petugas barisan hadapan yang dilaksanakan antara Februari hingga April 2021.

Fasa kedua iaitu antara April hingga Ogos 2021, untuk kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi serta orang kelainan upaya (OKU) melibatkan 9.4 juta orang.

Manakala fasa ketiga pula, iaitu antara Mei hingga Februari 2022, untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara) dengan sasaran lebih 13.7 juta orang. – MalaysiaGazette