KUALA LUMPUR – Sebuah kapal tangki asing yang didapati berlabuh tanpa kebenaran di perairan negara berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor.
Kapal itu dikesan berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira tujuh batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong, Pelabuhan Klang dekat sini semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, kapal tangki itu ditahan oleh pasukan ronda yang terlibat pemantauan Op Ehsan yang dilaksanakan sekitar jam lebih kurang 1.15 tengahari di sepanjang perairan Selangor hasil perkongsian maklumat Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT).
Katanya, hasil siasatan ke atas kapal itu mendapati ia berdaftar di Hong Kong.
“Kapal itu dikendalikan oleh 21 kru lelaki termasuk nakhoda yang berusia di antara 26 hingga 59 tahun yang kesemuanya warga China dan Bangladesh.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kesemua kru mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan tambah Mohd Rosli, pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.
Jelas beliau, kapal dan kru berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan dua kru kapal tersebut turut dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.
“Siasatan juga mendapati pelabuhan terakhir persinggahan kapal ini ialah Dumai, Indonesia dan sedang menuju ke Pelabuhan Klang,” katanya.
“Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh dari Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia,” katanya.
Aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, boleh disalurkan oleh orang awam dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-317 60627 yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.- MalaysiaGazette
Mungkin dia perasan perairan tu di bawah tuntutan China , so free jer.