Home Nasional TPM beri sumbangan kepada keluarga mangsa rabies

TPM beri sumbangan kepada keluarga mangsa rabies

Ahmad Zahid Hamidi (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Mazlan Pujan, bapa kepada dua kanak-kanak yang meninggal dunia akibat wabak Rabies di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini. Dua beradik tersebut Monica dan Jackson Mazlan masing-masing berusia enam dan empat tahun yang menetap di Kampung Paon Rimu Bakung, Serian meninggal dunia 4 Julai lalu. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUCHING – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menghulurkan sumbangan peribadi RM60,000 kepada keluarga dua beradik yang meninggal dunia akibat jangkitan virus rabies atau penyakit anjing gila, 4 Julai lepas.

Ahmad Zahid menyerahkan bantuan tersebut kepada ibu bapa mangsa, Mazlan Pujan, 37 dan Elisa John 37, di pejabat Hornbill Skyways di sini bagi membantu keluarga terbabit membina kediamaan baharu berikutan rumah yang mereka diami ketika ini usang.

Dua beradik tersebut, Monica dan Jackson Mazlan masing-masing berusia enam dan empat tahun yang menetap di Kampung Paon, Rimu Bakung, Serian meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak selepas dikesan dijangkiti virus itu hujung bulan lepas.

Sebelum itu, Ahmad Zahid, diberi taklimat mengenai wabak rabies yang berlaku di Bahagian Serian oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di pejabat yang sama.

Sebaik selesai majlisfringkas itu, Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), menaiki helikopter untuk menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri, Kementerian Dalam Negeri di Padang Lama, Kompleks Sukan di Sri Aman.

Setakat 3 petang semalam, terdapat empat kes positif virus rabies dengan dua kematian dan dua mangsa lain dalam keadaan kritikal di Unit Jagaan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Umum Sarawak.

Pada 4 Julai lalu, kerajaan Sarawak mengisytiharkan lima kampung di Bahagian Serian sebagai kawasan wabak rabies dan mengeluarkan arahan agar semua anjing peliharaan di kawasan dalam lingkungan 10km di situ, diberi vaksin terhadap penyakit berkenaan. – MalaysiaGazette