Home Nasional Varian Nigeria tak jejas keupayaan kesan jangkitan Covid-19

Varian Nigeria tak jejas keupayaan kesan jangkitan Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR- Varian Nigeria B1.525 ada mutasi penting dalam ‘spike protein’ tetapi ia tidak menjejaskan keupayaan untuk mengesan atau menjejaki individu dijangkiti varian COVID-19 itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ini kerana kit tindak balas Polymerase Chain Reaction (PCR) sedia ada menggunakan pelbagai sasaran untuk mengesan varian walaupun seseorang itu tidak bergejala.

“Pada masa ini, tidak ada data yang menunjukkan varian ini lebih ‘virulensia’ atau menyebabkan peningkatan kematian,” katanya.

Berdasarkan laporan kajian makmal, Dr Noor Hisham berkata, mutasi E484K yang juga dilihat pada varian lain termasuk Afrika Selatan (B.1.351) dan Brazil (P.1), telah dikaitkan dengan beberapa tahap ketahanan bagi meneutralkan antibodi diperlukan untuk memberi perlindungan.

Beliau berkata, ketahanan itu bermakna ada kemungkinan penurunan dalam keberkesanan imuniti semula jadi atau imuniti yang berasal daripada vaksin terhadap mutasi ini.

“Mutasi D614G menyebabkan peningkatan penularan kerana keadaan yang menggalakkan untuk virus menjangkiti sel dibenarkan dan menduplikasi.

“Mutasi lain yang disebut Q677H juga berkaitan kemungkinan peningkatan penularan disebabkan penggabungan virus yang efisien terhadap reseptor sel manusia,” katanya.

Mengenai dua kes pertama varian Nigeria di Malaysia pula, Dr Noor Hisham berkata, ia membabitkan pasangan suami isteri warga India masing-masing berusia 36 dan 33 tahun, yang datang ke Malaysia bersama anak lelaki berumur enam tahun.

Katanya, suami terbabit bekerja dalam bidang kewangan profesional sejak dua tahun lalu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata, mereka datang ke negara ini kerana lelaki berkenaan mendapat tawaran pekerjaan.

“Pada awalnya, lelaki itu dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, namun dipindahkan ke pusat perubatan swasta sehari kemudian atas permintaannya. Beliau dibenarkan keluar dari hospital pada 9 Februari lalu.

“Oleh kerana isterinya di awal kehamilan, wanita itu bersama anak mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Beliau dibenarkan keluar dari hospital pada 15 Februari lalu,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan, kedua-dua pelawat itu tiba di Malaysia pada 31 Januari lalu dan Kementerian Kesihatan telah menjalankan ujian calitan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) melalui hidung (nasopharyngeal) dan mulut (oropharyngeal) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana mereka tidak menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum berlepas.

Mereka kemudian dikuarantin di pusat kuarantin ditetapkan dan kekal tidak bergejala, namun makmal mengesahkan hasil ujian RT-PCR mereka positif COVID-19 pada 2 Februari lalu.

Dr Noor Hisham berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kemudian melakukan penjujukan genom penuh kerana sejarah perjalanan mereka.

Katanya, IMR menyelesaikan analisis penjujukan genom pada 4 Mac lalu yang menunjukkan kedua-dua kes itu mempunyai varian Nigeria SARS-CoV-2 (B1.525). – BERNAMA

+ posts