Home Pendapat Kesetiaan bukan terletak pada generasi

Kesetiaan bukan terletak pada generasi

Warga emas menanda kertas undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki, Slim River, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 29 OGOS 2020

SAUDARI Nicole Wong dalam ucapan dasar beliau pada Perhimpunan Agung Pemuda MCA baru-baru ini  telah menyentuh tentang soal kesetiaan pengundi baharu yang akan mengundi pada PRU yang akan datang.

Seramai 7.8 juta pengundi baru yang menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dan 3.8 juta merupakan anak muda yang berumur 18 tahun hingga 21 tahun.

Untuk pengetahuan saudari Nicole Wong, tidak adil sekiranya saudari menilai kesetiaan pengundi baru ini yang terdiri daripada anak muda yang lahir sebagai “Generasi Z” berbanding mereka yang lahir sebelum generasi ini.

Kita telah lihat sendiri bahawa kesetiaan ahli-ahli politik dan pengundi sekarang pun masih meragukan dan tidak meyakinkan.

Berlakunya aksi lompat melompat parti dan peralihan sokongan oleh sesetengah pihak atau dalam bahasa kiasnya “katak politik” yang menarik dan menyatakan sokongan kepada susuk tubuh seseorang sekiranya mendapat habuan.

Mereka ini bukanlah lahir dari “Generasi Z” yang saudari sebutkan. Bahkan, lebih berusia dan mampu berfikir makna kesetiaan berbanding anak muda.

Tidak dinafikan juga corak dan cara berfikir anak muda sangat berlainan dengan mereka yang telah lama berkecimpung dalam arena politik. Anak muda pada masa kini lebih mementingkan soal dasar dan perancangan yang baik serta berkesan bagi menjamin kehidupan mereka kelak.

Soal pendidikan, pendapatan, gaji minimum peluang pekerjaan dan banyak lagi yang berkaitan dengan anak muda sering dibincangkan dan diperdebatkan oleh anak muda sendiri sama ada melalui sosial media atau di kedai makan.

Dalam kehidupan zaman berteknologi, anak muda sangat mudah memperolehi sesuatu berita yang berkaitan dengan isu semasa. Sekiranya sesuatu perkara berlaku sama ada di luar atau di dalam negara, mereka pasti akan mengetahuinya dalam masa yang singkat dengan hanya menggunakan hujung jari.

Pendedahan ini akan memudahkan anak muda untuk menilai sesuatu perkara yang berlaku sama ada ianya baik dan buruk serta memberi peluang kepada anak muda untuk menilai perangai dan sikap ahli-ahli politik sekarang yang lebih mementingkan kedudukan dan harta sehingga mengkhianati mandat rakyat. Jadi,mereka mampu memperoleh pengajaran daripada perkara buruk sebegini.

Ya, anak muda mempunyai pilihan dalam menentukan keputusan di peti undi untuk memilih sama ada parti A atau parti B. Anak muda akan terus memilih parti yang mempunyai matlamat dan perancangan yang baik kepada negara serta menjamin kebajikan anak muda kelak.

Sekiranya parti A gagal,maka anak muda akan memilih parti B atau sebaliknya. Anak muda akan terus menolak budaya kotor dan jijik yang diamalkan oleh generasi terdahulu supaya arena politik negara terus berkembang maju dengan idealisme baru.

Muhammad Azha Salahudin
Penulis dan aktivis NGO.