Home Dunia Letupan besar gegar bandar utama Guinea

Letupan besar gegar bandar utama Guinea

Letupan besar menggegarkan bandar utama Guinea. foto agensi

MALABO – Sekurang-kurangnya 15 orang maut manakala kira-kira 500 lagi cedera dalam satu siri letupan di Equatorial Guinea, semalam.

Saluran Television de Guinea Ecuatorial (TVGE) menyiarkan rakaman bangunan hancur dan terbakar selepas empat letupan merosakkan kem Nkoa Ntoma di ibu negara ekonomi Bata dan kawasan sekitarnya.

Mangsa termasuk kanak-kanak dilihat ditarik keluar dari runtuhan sementara mereka yang tercedera pula terbaring di lantai hospital.

Presidennya, Teodoro Obiang Nguema berkata, letupan itu disebabkan oleh kecuaian unit yang bertugas menyimpan bahan letupan, dinamit dan peluru.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan meminta sukarelawan pekerja kesihatan untuk pergi ke Bata Regional Hospital  membantu kesemua mangsa.

“Kami juga memohon supaya orang ramai boleh menderma darah kerana jumlah korban adalah tinggi,” katanya dalam laman sosial Twitternya hari ini menurut laporan agensi.

Bagaimanapun, Sepanyol, bekas penjajah di Equatorial Guinea, mendesak melalui kedutaannya di Malabo untuk rakyatnya tinggal di rumah ekoran letupan itu.

Bata adalah bandar terbesar di Afrika tengah yang kaya dengan minyak dan gas di mana sekitar 800,000 daripada 1.4 juta penduduk negara itu tinggal di sana dan kebanyakan mereka berada dalam kemiskinan. – MalaysiaGazette