Home Politik PKR tak pernah bincang mahu kerjasama dengan UMNO, Bersatu – Anwar

PKR tak pernah bincang mahu kerjasama dengan UMNO, Bersatu – Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bergambar bersama Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (kiri) dan Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh (kanan) selepas melancarkan kempen “Community Alert” sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2021 bersama di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 08 MAC 2021.

PETALING JAYA – PKR tidak pernah membincangkan sama ada akan  bekerjasama dengan UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang PRU-15.

Bagaimanapun  Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim  bersedia bekerjasama dengan parti yang senada dengan partinya khususnya dalam usaha menolak rasuah, memperjuangkan tadbir urus kerajaan selain membela rakyat.

“Soal kerjasama dengan mana-mana pihak tidak berbangkit setakat ini walaupun kita jelas siapa sahaja yang boleh terima kita menyokong tatakelola kerajaan yang baik, menolak rasuah, menolak segala bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dan menjaga rakyat selain bumiputera, seluruh kaum, kita akan bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sambutan Hari Wanita Sedunia di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Turut hadir isterinya yang juga merupakan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Baru-baru ini UMNO menegaskan pendirian parti itu untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 dan Bersatu menerusi kenyataan berkata, parti itu memandang serius keputusan UMNO dan menyifatkan ia memberi impikasi besar terhadap kestabilan Perikatan Nasional.

Dalam pada itu Anwar juga memaklumkan Pakatan Harapan (PH)  dalam proses perbincangan untuk memuktamadkan pembahagian  kerusi menjelang pilihan raya umum.

“PH sedang berbincang tentang pembahagian kerusi di antara gabungan ini dulu kemudian baru kami akan pertimbangkan parti selain PH (yang menyokong PH),” tambah beliau.- MalaysiaGazette

+ posts