Home Nasional 571,802 petugas barisan hadapan selesai terima vaksin hujung bulan ini

571,802 petugas barisan hadapan selesai terima vaksin hujung bulan ini

Khairy Jamaluddin pada sidang media berkenaan perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara maya hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 571,802 petugas barisan hadapan yang tersenarai dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan menerima suntikan dos pertama sebelum hujung bulan ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, bagi mencapai penunjuk prestasi utama (KPI) fasa pertama, beliau yakin semua penerima vaksin terbabit akan menerima suntikan pertama sebelum tamat bulan Mac.

“Kita (kerajaan) akan berjaya menjayakan fasa pertama, ia meliputi 571,802 petugas barisan hadapan yang sudah disenaraikan,” katanya pada sidang media berkenaan perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara maya hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Khairy berkata, pihaknya merekodkan lima daerah paling tinggi menerima vaksin iaitu Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kuching, Kuantan dan Kota Kinabalu.

Lima negeri mencatatkan penerimaan vaksin tertinggi ialah Sarawak sebanyak  22140 dos diikuti Pahang (14,473), Selangor (12,336), Kelantan (11,927) dan Sabah (11,739).

“KIta juga merekodkan bilangan individu yang telah ditemujanji (seramai) 3,832,976 (orang) melibatkan pendaftaran melalui aplikasi MuSejahtera, seramai 3,658,538 (orang) serta pendaftaran melalui laman web, www.vaksincovid.gov.my, seramai 173,575 orang dan melalui talian hotline, seramai 863 orang.

“Bagi yang sudah mendaftar untuk fasa pertama, seramai 221,819 orang dan seramai 139,720 orang sudah menerima suntikan dos pertama,” ujarnya.

Tambahnya, Malaysia juga sudah menerima vaksin Covid-19 buatan Pfizer sebanyak 86,775 dos melibatkan jumlah keseluruhan vaksin sebanyak 520,650 dos. – MalaysiaGazette