KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Bhd bertindak mengecualikan bayaran fi bagi membuka akaun Perkhidmatan Depositori Pusat (CDS) sepanjang bulan ini bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2021.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Muhamad Umar Swift berkata, Bursa Malaysia dan 19 broker lain yang terbabit, turut menganjurkan beberapa siri aktiviti menerusi portal mikrosit seperti Bursa Academy dan Bursa Marketplace.
“Ini membolehkan orang ramai menguji tahap celik kewangan, memanfaatkan rencana dan video pendidikan serta menyertai acara webinar mingguan.
Senarai penuh aktiviti itu terdapat di https://www.bursamarketplace.com/equality4equity/.
Sementara itu, pada sesi webinar bertajuk ‘She Invest: Seizing the Opportunity during the Pandemic’ (Wanita Melabur: Rebut Peluang Ketika Pandemik), salah seorang panel iaitu CEO BNP Paribas Asset Management Malaysia Sdn Bhd, Angelia Chin-Sharpe menekankan kepentingan menangani jurang pendapatan serta memastikan kalangan wanita ini mempunyai jumlah pendapatan bolehguna yang memadai sebelum mereka berupaya untuk melabur.
“Mulakan dengan langkah kecil seperti mempunyai skim simpanan sendiri daripada awal lagi. Jangan terus (terburu-buru) melabur dalam pasaran saham dan sebaik-baiknya mulakan dengan (membeli) saham amanah.
“Anda boleh mulakan dengan pelaburan awal RM1,000 sebulan dan tambahan RM100 sebulan untuk membina asas (pelaburan). Fahami pelaburan secara mendalam sebelum bertindak melabur dalam pasaran saham,” katanya.
Seorang lagi ahli panel yang juga Naib Presiden Pusat Pertumbuhan Inklusif Mastercard, Alison L Eskesen menyifatkan ketersediaan pengetahuan, akses terhadap mekanisme rangkaian seperti teknologi kewangan termasuk ‘robo-advisors’ atau penasihat kewangan digital, juga dapat memacu penyertaan pelaburan wanita serta pasaran saham.
“Tindakan berbicara secara bersemuka dengan mereka yang memahami selok-belok pelaburan dan pasaran saham ini juga adalah sebahagian daripada proses pembelajaran untuk membantu orang ramai mengenal pasti risiko. Ini berikutan terdapat peningkatan kejadian penipuan atau ‘scam’ global serta ugutan ketika tempoh pandemik COVID-19 ini,” katanya.
Antara latihan serta usaha interaktif yang terdapat di Bursa Malaysia adalah Mirror, Learn & Trade (MLT) yang diwujudkan khusus untuk mereka yang baru bermula serta memantau pendekatan cara niaga atau dagangan profesional membabitkan penasihat pelabur berdaftar yang lazimnya membangunkan, merangka strategi serta menguruskan portfolio saham secara maya.
Sementara itu, ahli panel yang juga CEO CGS-CIMB Securities Sdn Bhd Ruzi Raji Ajith berkata tindakan meniru cara dagangan mungkin bagus bagi mereka yang baru bermula, tetapi ini perlu dilakukan menerusi bimbingan dan mentor serta memahami falsafah pelaburan.
“Ini penting kerana dapat membantu pelabur mengurus modal serta simpanan terhadap inflasi dan menyimpan untuk keadaan yang amat memerlukan.
“Namun bukanlah dengan cara meniru dagangan secara melulu sebaliknya anda perlu meneliti, memahami proses terbabit serta risiko bagi setiap pelaburan itu,” katanya. – MalaysiaGazette