Home Seni Hidup Setiap hari adalah Hari Wanita Sedunia sebenarnya – Vickneswari

Setiap hari adalah Hari Wanita Sedunia sebenarnya – Vickneswari

Timbalan Ketua Wanita MIC, Vikcneswari Babuji

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Wanita Sedunia merupakan manifestasi penghargaan kepada golongan hawa disambut setiap kali tarikh 8 Mac.

Baik bidang politik, sains, sukan atau seni – wanita telah memacu masyarakat untuk mara ke hadapan dalam sejarah dan itulah realitinya.

Timbalan Ketua Wanita MIC, Vickneswari Babuji merasakan pengiktirafan yang diberikan kepada wanita hari ini sepatutnya diiktiraf daripada dahulu lagi.

“Sememangnya sangat berwarna warni dan mengkagumkan untuk melihat pengiktirafan serta penghargaan dan penghormatan yang diberikan kepada golongan wanita hari ini bukan sahaja di negara ini sebaliknya seluruh dunia.

“Hakikatnya, wanita telah memainkan peranan cukup penting dalam kehidupan seharian selama ini malah dahulu rata-rata pengorbanan mereka ini langsung tidak dihargai.

“Banyak sungguh legasi luar biasa yang telah dicapai, dicipta untuk diikuti oleh generasi akan datang sebagai penghormatan. Marilah kita raikan golongan ini yang mengorak langkah pertama untuk kita terus peroleh inspirasi daripada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vickneswari juga teruja sekali dengan titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menzahirkan ucapan kepada semua kaum wanita di negara ini sempena dengan Hari Wanita Sedunia hari ini.

Menurutnya, dirinya senada pandangan wanita wajar diraikan kerana mereka sudah menghadapi pelbagai jenis cabaran yang ditempuhi terutama sepanjang menghadapi pandemik Covid-19.

“Titah Raja Permaisuri Agong yang kita sayangi, wanita mampu mengharungi setiap cabaran yang datang dengan kekuatan yang diberikan oleh Tuhan Maha Esa, itulah istimewanya golongan hawa ini.

“Cabaran dalam norma baharu ini yang melanda kita secara globalnya menguji kehidupan kita semua dan disinilah kita melihat kekuatan seorang insan bergelar wanita.

“Ingin saya zahirkan memandangkan diri saya sendiri bukan sahaja seorang wanita sebaliknya berkecimpung dalam dunia politik, kita harus menggandakan usaha agar representasi wanita dalam posisi pembuat keputusan dan kepimpinan dapat dipertingkatkan demi kelestarian golongan wanita di negara ini.

“Selamat Hari Wanita buat kita semua, setiap hari adalah pengiktirafan buat kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette