Home Nasional Belanja RM15,000 ubahsuai motosikal akhirnya disaman ekzos bising

Belanja RM15,000 ubahsuai motosikal akhirnya disaman ekzos bising

Pemilik motosikal perlu menukar kembali kepada ekzos asal sebelum membawa pulang kenderaan masing-masing di Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 08 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik Yamaha Y15 ZR sanggup menghabiskan  wang simpanan kira-kira RM15,000 untuk mengubahsuai motosikal termasuk  ekzos sebagai persediaan menyertai pertandingan.

Malangnya impiannya tidak kesampaian apabila ditahan dalam Operasi Ekzos Bising oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di ibu negara awal pagi Ahad lalu.

Penunggang motosikal itu didapati bersalah dan disaman kerana mengubahsuai motosikal termasuk ekzosnya yang bising.

Enggan mendedahkan identitinya, lelaki itu mengakui baru berjinak-jinak menyertai pertandingan motosikal.

“Saya spend RM15,000 untuk ubahsuai termasuk ekzos bising ini untuk menyertai pertandingan auto show.. saya ada kepakaran dalam ubahsuai motosikal ini.

“Semalam, saya tiada motosikal lain untuk keluar dan keluarga tiada di rumah, jadi saya keluar naik motosikal ini (ekzos bising),” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sementara itu, Ketua JSPT KL, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam operasi yang diadakan antara 1 hingga 7 Mac lalu, sebanyak 2,495 buah kenderaan termasuk kereta diperiksa.

Katanya, polis telah mengeluarkan sebanyak 1, 400 saman atas pelbagai kesalahan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Daripada jumlah 1, 400 saman itu, kesalahan membabitkan ubahsuai ekzos bising sahaja sebanyak 79 saman dikeluarkan diikuti 40 saman dari JAS dan 90 saman membabitkan JPJ.

“Kita saman untuk kesalahan ubahsuai ekzos bising dan juga untuk bunyi bising tersebut dan enam kereta termasuk dalam 79 saman ubahsuai ekzos bising,” katanya.

Tambah Zulkefly, kesemua pesalah adalah berusia lingkungan antara 18 hingga 35 tahun disaman dalam operasi yang sama yang diadakan di sekitar Jalan Bangsar, Jalan Pahang, Jalan Kuching dan kawasan perumahan.

“Kita masih mahu memberi peluang kepada pesalah trafik supaya jangan ubahsuai sesuka hati kenderaan anda melainkan kebenaran JPJ.

“Kita ada sita 84 kenderaan atas kesalahan ekzos bising untuk pemeriksaan lanjut dan akan dipulangkan semula kepada pemiliknya selepas tindakan menggantikan ekzos standard selesai dibuat pemilik,” katanya.

Kesemua kesalahan diambil tindakan di bawah Kaedah 103 dan 109 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959(LN170/1959) dan Seksyen 60 dan 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika kesalahan sama dikenalpasti lagi akan diambil tindakan tegas di bawah undang-undang yang diperuntukkan,” katanya. – MalaysiaGazette