PERNAH tak sewaktu kita kecil dahulu, belaian dan pelukan dari ibu membuatkan kita berasa nyaman seakan itulah ubat yang paling mujarab buat setiap kesakitan.
Pernah tak apabila dilanda masalah atau ada sesuatu yang membelenggu fikiran, suara dan nasihat ibu seakan-akan jalan penyelesaian kepada masalah tersebut dan ubat penenang kepada jiwa yang gundah.
Saya masih ingat sewaktu saya di bangku sekolah menengah. Saya mempunyai masalah senggugut yang begitu kronik. Satu hari ibu saya pergi menghadiri kenduri dan ketika itu saya sedang sakit.
Saya menangis semahunya kerana tidak tertanggung rasanya sakit yang dialami. Apabila ibu saya pulang, dia terus bergegas ke bilik saya. Dengan lembut beliau mengurut perut saya dengan minyak panas dan saya terus terlena. Kesakitan yang saya alami tadi terus lenyap.
Begitulah sifat dan naluri seorang wanita yang bergelar ibu yang kasih sayang dan sifat prihatinnya memenuhi ruang hati kita. Sejak tahun lalu, dunia dilanda wabak Covid-19 yang menuntut pengorbanan besar para barisan pertahanan keselamatan dan kesihatan di seluruh dunia. Mereka terpaksa meninggalkan keluarga dan menggadaikan nyawa mereka untuk kesejahteraan manusia sejagat. Mereka digelar frontliner, dan ada dikalangan mereka juga adalah wanita.
Dengan berbekalkan kecekalan dan semangat tinggi, para wanita ini ada yang terpaksa berjauhan dengan keluarga terutamanya anak-anak mereka, lebih-lebih lagi apabila ada yang menjadi kontak rapat pesakit sewaktu menjalankan tugas. Ada juga yang mengambil keputusan yang drastik menjauhkan diri demi melindungi nyawa yang tersayang juga nyawa orang awam di bawah seliaan mereka. Ada juga yang sanggup mengubah rutin dan kebiasaan mereka.
Pastinya ini tidak mudah. Tapi mereka tetap melakukanya. Sama juga seperti wanita yang lain, yang berkorban masa, kepentingan peribadi, hati dan perasaan demi kebahagiaan orang lain. Kecekalan seorang wanita tiada tolok bandingan. Saya rasa persepsi “wanita insan yang lemah” harus ditukar ke “wanita insan yang cekal”.
Sifat semulajadi wanita yang diciptakan sebagai penjaga dan pelindung sepatutnya dimuliakan dan dihormati. Maruahnya perlu disanjungi bukan dipijak-pijak dan dihina. Dirinya perlu diraikan dengan memberikan peluang yang setara di dalam dunia ini, bukan diperkecilkan. Wanita bukan alat untuk melepas nafsu atau amarah.
Wanita, waima apa jua pekerjaannya, dia pasti menjadi pelindung dan penjaga kepada insan yang disayanginya. Seperti tuntutan kerja seorang frontliner – menjaga dan melindungi, wanita adalah frontliner sejati dan semulajadi dunia.
Selamat Hari Wanita Sedunia kepada semua wanita, frontliner dan tunggak dunia. Semoga stigma dan stereotaip mengenai wanita dapat dihapuskan dan wanita boleh hidup bebas semahu kehendaknya.
Noor Suhana Ishak
Penyelia Pusat Wanita Berdaya DUN Kg Tunku