KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi unit khasnya, Platform Koordinasi Pelaburan Domestik (DICP) yang dipertanggungjawab untuk memudahkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berkembang maju, telah membolehkan syarikat pemula niaga teknologi kewangan (fintech) Malaysia, Neurogine Sdn Bhd memeterai urus niaga pengambilalihan dengan Hadigy Ltd, syarikat pegangan pelaburan yang berpangkalan di UK.
Perjanjian pemegang saham itu akan menyaksikan Hadigy Ltd menguasai 30 peratus kepentingan atau 1.929 juta saham biasa dalam Neurogine, syarikat pemula niaga fintech Malaysia yang berpengkhususan dalam pendigitalan perbankan mudah alih, pembayaran mudah alih dan penyelesaian aset digital.
Majlis pemeteraian perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Neurogine, Owen Chen Chee Onn dan Pengarah Eksekutif Hadigy Ltd, Hari Iyer diadakan secara maya antara Kuala Lumpur dan London baru-baru ini dan disaksikan oleh CEO MIDA Datuk Azman Mahmud di ibu pejabat MIDA di sini.
“Kehadiran pembiaya luar seperti Hadigy Ltd dalam ruang ini sudah pasti dapat membantu mempercepatkan penggunaan teknologi dan merangsangkan pertumbuhan perkhidmatan teknologi kewangan di Malaysia,” kata Azman.
Beliau menambah, dalam persekitaran COVID-19 ini, segmen teknologi tempatan e-dagang, teknologi kewangan dan teknologi perubatan mampu menarik pelaburan ekuiti asing dan modal teroka.
Beliau berkata, sektor-sektor ini yang menyediakan penyelesaian secara “remote” atau jarak jauh dengan meminimumkan dan menghapuskan kontak fizikal, telah muncul lebih kuat, didorong oleh permintaan diperbaharui daripada pengguna industri yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
MIDA turut berpendapat teknologi kewangan atau fintech telah bersedia untuk muncul sebagai pemacu pertumbuhan di Malaysia pada 2021 dan tahun-tahun berikutnya, dan negara juga bersedia memanfaatkan invoasi teknologi kewangan.
Sokongan dan inisiatif yang padu daripada kerajaan untuk ekonomi digital, disokong oleh kelas menengah yang kian meningkat dengan 90.1 peratus isi rumah memiliki akses ke internet dan 98.2 peratus boleh akses ke telefon mudah alih adalah petunjuk ekonomi digital yang berkembang pesat. (Sumber: Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai penggunaan dan akses ICT oleh individu dan isi rumah – 2019).
Sejajar dengan aspirasi pelaburan negara untuk meningkatkan ‘complexity’ ekonomi dan membina konglomerat Malaysia, kerajaan, menerusi MIDA dan unit DICP komited untuk menghubungkan syarikat pemula niaga Malaysia dengan firma modal teroka antarabangsa.
Unit itu juga akan terus mempermudahkan laluan pertumbuhan mampan dan ekosistem yang rancak untuk membolehkan pemula niaga berprofil tinggi berkembang pesat. – MalaysiaGazette