Home Utama Prasarana sedia 1,100 pekerja kendali MRT laluan Kajang

Prasarana sedia 1,100 pekerja kendali MRT laluan Kajang

Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz bercakap kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Kumpulan Prasarana di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyediakan seramai 1,100 pekerja bagi memastikan perasmian Aliran Transit Massa (MRT) bagi fasa kedua meliputi laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) Isnin ini berjalan lancar.

Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, jumlah itu diperlukan bagi menguruskan jangkaan 400,000 pengguna MRT sehari sebaik beroperasi pada 17 Julai ini.

“Kita sudah sedia 100 peratus malah ada 1,100 pekerja yang siap sedia untuk berkhidmat yang dilatih sepenuhnya untuk mengendalikan gerabak dan bas penumpang bagi mengalu-alukan kedatangan pengguna apabila dilancarkan nanti.

“Sejak dua tahun sudah kita telah mengambil kakitangan dan diberi latihan peringkat demi peringkat. Kita bukannya tunggu untuk operasi sahaja. Kita sudah buat persiapan awal pagi,” katanya dalam sidang media dalam Majlis Rumah Terbuka Prasarana di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Turut mencemar duli hadir pada majlis yang sama ialah Raja Muda Selangor, Tengku Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam.

Menurut Azmi, pengguna yang menggunakan kad MyRapid akan diberikan potongan diskaun sebanyak 20 peratus jika menggunakan perkhidmatan MRT sebaik dilancarkan.

Ia bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai melengkapkan fasa MRT dari Sungai Buloh ke Kajang.

Sebanyak 42 gerabak dijangka memulakan operasi sepenuhnya Isnin depan.

Najib hari ini menzahirkan rasa puas hati terhadap kelancaran perkhidmatan MRT.

Ia hasil tinjauan Perdana Menteri yang mencuba sendiri tren fasa kedua MRT bersama keluarga dan jemputan khasnya semalam. -MalaysiaGazette.