Home Ekonomi Pemohon RMR boleh pilih sendiri 6 model rumah – SPNB

Pemohon RMR boleh pilih sendiri 6 model rumah – SPNB

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Datuk Hasleen Isnin (dua dari kanan) meninjau rekabentuk baharu Rumah Mesra  Rakyat SPNB di Dataran PHB, Shah Alam hari ini.

KUALA LUMPUR – Pemohon Rumah Mesra Rakyat (RMR) kini boleh
memilih sendiri enam model baharu RMR yang ditawarkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin berkata, reka bentuk baharu berkonsep kontemporari itu lebih menarik dan mampu memberikan keselesaan kepada semua pemohon RMR.

Katanya, antara reka bentuk yang diperkenalkan adalah jenis bertiang berkeluasan 900 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air.

“Dengan pertambahan enam rekabentuk baharu RMR ini, SPNB yakin dapat memberikan nafas baru dengan menawarkan lebih variasi pilihan reka bentuk kepada pemohon RMR berbanding hanya dua reka bentuk sebelum ini.

“Selain enam reka bentuk baharu terdapat penambahbaikan ke atas polisi perlindungan insuran RMR sedia ada dengan penambahbaikan perlindungan ke atas permohonan baru RMR.

“Selain perlindungan kebakaran dan banjir, pemohon akan turut menerima perlindungan kemalangan, badal haji, khairat kematian dan juga kos penghospitalan sebanyak RM100 sehari,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Antara kelayakan pemohon RMR adalah terbuka kepada warganegara Malaysia, mesti berumur 18 tahun ke atas, pendapatan bulanan seisi rumah tidak melebihi RM3,000.

Pemohon dan pasangan tidak memiliki rumah sendiri atau memiliki rumah usang, tidak sempurna, tapak cadangan mestilah bersesuaian dan bebas dengan gadaian, bebanan, sekatan ke atasnya dengan keluasan tanah tidak kurang daripada 3,600 kaki persegi (tertakluk kepada rekabentuk).

Bagi pemohon bukan tuan rumah, pemohon mestilah mendapat kebenaran daripada tuan punya tanah.

Bagi pemohon dari Semenanjung berumur melebihi 42 tahun, pemohon kedua yang berumur di antara 18-42 tahun diperlukan.

Manakala, bagi permohonan dari Sabah, Sarawak dan kawasan pulau yang melebihi 38 tahun, pemohon kedua yang berumur di antara 18-38 tahun diperlukan.

Menurut Hasleen lagi, SPNB kini dalam peringkat akhir mendapatkan kelulusan dari Kementerian Kewangan untuk menaikkan syarat had kelayakan pendapatan asal bulanan seisi rumah dari RM 3,000 ke RM 5,000.

Katanya, ia bagi memenuhi jurang permintaan perumahan dan sejajar dengan semakan semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) oleh Kerajaan di mana garis pendapatan baru B40 adalah pada paras RM4,850.

Sehingga kini sebanyak 47,153 unit RMR telah berjaya disiapkan di seluruh negara dan pada tahun 2021, SPNB telah diamanahkan oleh kerajaan untuk membangunkan 3,000 unit rumah RMR di mana 749 unit kini sedang dalam pembinaan dan 1,531 unit lagi dalam peringkat menandatangani dokumen perjanjian.

Selain RMR, katanya, SPNB turut giat memperkukuhkan lagi kedudukan sebagai peneraju perumahan bagi golongan B40 dengan menjenamakan semula pembangunan perumahan SPNB kepada ‘Kediaman SPNB’ dengan fokus purata harga rumah tidak melebihi RM300,000 dan berkeluasan minimum 900 kaki persegi.

“Setakat ini sebanyak 28,403 unit Kediaman SPNB telah berjaya disiapkan, 4,380 sedang di dalam pembinaan manakala 7,407 unit rumah Kediaman SPNB di bawah harga purata RM 300,000 di dalam perancangan dibangunkan pada tahun ini.

“Selain itu, terdapat juga beberapa projek bakal dilancarkan pada tahun ini dan antaranya di Selangor dan Kuala Lumpur,” ujarnya.

Terdahulu hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkunjung ke Ibu Pejabat SPNB baharu yang terletak di Menara PHB, Shah Alam.

Hadir sama timbalannya, Datuk Seri Dr Ismail Abd. Muttalib dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

“SPNB berharap dengan Ibu Pejabat SPNB yang baharu dan lebih moden ini, maka orang ramai akan lebih mudah akses ke pejabat SPNB kerana ianya terletak bersebelahan jalan utama, berhampiran dengan pengangkutan awam seperti laluan LRT/MRT dan pada masa sama ianya turut dapat mengurangkan kos operasi tahunan syarikat,” kata Hasleen. – MalaysiaGazette