PUTRAJAYA – Bekalan barang keperluan hampir terputus sebelum ini susulan kesesakan dan lambakan kontena di tiga pelabuhan utama khususnya di Pelabuhan Klang semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan mulai 8 Mac tahun lalu.
Walaupun Kerajaan Perikatan Nasional (PN) baru sahaja ditubuhkan ketika itu, namun kecekapan Kementerian Pengangkutan yang diterajui Datuk Seri Wee Ka Siong mampu menanganinya dengan baik melalui langkah pembersihan pelabuhan
“Semasa PKP, keadaan pelabuhan-pelabuhan kita agak sesak dan ketika itu kita telah membuat satu keputusan sangat berani iaitu hampir setiap minggu kita buat pembersihan pelabuhan.
“Kita nak pastikan rantaian pembekalan barang keperluan asas masuk melalui pelabuhan tidak terjejas, kita tak dapat bezakan yang mana barang keperluan dan yang mana bukan barang keperluan.
“Ketika itu, satu keputusan berani dibuat di mana setiap hujung minggu kita buat tiga hari pembersihan pelabuhan,” katanya dalam sidang media khas sempena Setahun Malaysia Prihatin di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional baru-baru ini.
Menurut Ka Siong, ketika itu tiga pelabuhan utama negara iaitu Pelabuhan Klang, Selangor; Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Pasir Gudang, Johor telah mencecah 100 peratus ruang kapasiti.
“Keadaan berlaku berikutan pemberhentian pemindahan barang ke gudang-gudang simpanan sebelum dihantar ke destinasi akhir.
“Apabila kita buat pembersihan pelabuhan semasa PKP, kita telah bantu pengusaha di mana barang yang perlu dieksport dihantar keluar terus atau barang hendak masuk tidak tersekat.
“Ia sekaligus melegakan semua pengusaha terutamanya mereka yang ada urusan import eksport, itu sangat penting bagi saya,” jelasnya.
Susulan langkah proaktif Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) itu, Malaysia menerusi Pelabuhan Klang mendapat pengiktirafan antara 12 daripada 20 pelabuhan paling sibuk di dunia.
“Manakala PTP di mana tahun lalu (2019) duduk di tangga ke-18 telah berganjak naik ke atas pada tangga ke-15.
“Ini bermaksud daripada 20 pelabuhan yang paling sibuk di dunia, hanya China dan Malaysia sahaja mempunyai lebih daripada satu pelabuhan dengan anjakan dari tangga ke-18 ke tangga ke-15,” katanya.
Lebih membanggakan apabila Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor diiktiraf sebagai antara pelabuhan yang mempunyai kadar pertumbuhan paling tinggi di dunia.
“Disebabkan strategi yang kita gunakan telah mencapai kadar pertumbuhan 8.47 peratus, paling tinggi di dunia dan ini mengagumkan kita.
“Pelabuhan kita mempunyai potensi, pembersihan pelabuhan sangat penting semasa PKP, dari hari ini nampaknya prestasi semakin naik dan ini memang membantu negara kita ke arah pemulihan ekonomi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette