KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi negara telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Katanya, ia dapat dilihat apabila pertumbuhan ekonomi menguncup sebanyak 1.7 peratus pada Disember lalu berbanding penguncupan sebanyak 28.7 peratus pada April 2020.
“Kadar pengangguran juga telah menurun daripada 5.3 peratus pada bulan Mei 2020 kepada 4.8 peratus pada bulan Disember 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, keputusan untuk membuka sektor ekonomi secara berperingkat-peringkat pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat baru-baru ini telah menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.
Ujarnya, badan-badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang pada kadar masing-masing 7 peratus dan 6.7 peratus pada tahun ini.
Tambah kenyataan itu, proses pemulihan ekonomi negara
dijangka dipercepatkan lagi dengan pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang telah bermula dari 24 Februari 2021. – MalaysiaGazette