Home Politik Azmin mahu semua parti dalam PN ketepi kepentingan

Azmin mahu semua parti dalam PN ketepi kepentingan

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap pada Majlis Perhimpunan Warga MITI dan Agensi di Menara MITI, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 10 MAC 2021.

KUALA LUMPUR –  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyeru semua parti yang bekerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) mengenepikan kepentingan peribadi masing-masing.

Sebaliknya Ketua Penerangan PN itu berkata, semua parti dalam perikatan tersebut perlu berbincang untuk memastikan kerajaan terus stabil dan kukuh.

“Sudah tentu ada pandangan yang berbeza tetapi dengan musyawarah dan perbincangan saya percaya mesti ada jalan keluar untuk melihat kerangka yang lebih besar untuk mengangkat martabat rakyat. Itu jawapan terus daripada hati nurani saya,” katanya ketika sidang media.

Terdahulu Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau tidak mahu menjadi ejen perpecahan dalam PN.

Sebaliknya katanya, peranan beliau adalah untuk memastikan parti yang bekerjasama di dalam perikatan berkenaan bersatu padu meskipun wujud pandangan yang berbeza.

“Memang ada pandangan berbeza, pendekatan yang berbeza, kita punya jari pun tak sama panjang, ada pendek, ada kecil dan ada besar.

“Tetapi kalau kita satukan dia menjadi satu kekuatan, kamu boleh genggam, kamu boleh makan tapi kalau satu jari macam mana kita nak makan? Itu maksud saya.

“Jadi, saya bertanggungjawab untuk menganjur perpaduan, saya tidak mahu jadi ejen perpecahan,” ujarnya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam yang  mengingatkan  Pas untuk tidak membantu Bersatu berkempen sekiranya berlaku pertembungan kerusi dengan UMNO pada pilihan raya akan datang.

Namun begitu, kata Tajuddin, UMNO tidak menghalang keputusan Pas untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu dan Bersatu. -MalaysiaGazette

+ posts