KLANG – Pelbagai alasan diberikan oleh pemandu kenderaan perdagangan ketika diperiksa anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor dalam Ops Selit di Plaza Tol Bukit Raja di sini selepas mereka didapati tidak menyimpan kayu penyendal di ruang yang selamat.
Dalam operasi bermula jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari itu, sebanyak 196 notis saman dikeluarkan selepas 112 lori diperiksa atas pelbagai kesalahan.
Kesalahan tersebut termasuk 46 kes membabitkan kayu penyendal, kesalahan teknikal (21), tayar botak atau celup (11), lebih muatan (4) serta tiada lesen memandu kenderaan barang (4).
Pengarah JPJ Negeri Selangor, Nazli Md. Taib berkata, operasi tersebut merupakan siri pertama yang dijalankan secara bersepadu dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan keseluruhan 93 pegawai dan anggota.
Menurut beliau, tujuan operasi adalah untuk mengesan kenderaan-kenderaan perdagangan yang membawa objek seperti kayu penyendal, besi atau plastik yang diletakkan di bahagian casis lori.
“Jika diikutkan undang-undang kaedah kenderaan bermotor, pemilik kenderaan tidak dibenar meletakkan sebarang objek di badan lori.
“Apa yang menjadi fokus adalah untuk memberi kesedaran kepada kesemua pemilik treler dan lori serta pemandu supaya tidak lagi meletakkan bahan-bahan seperti kayu di bawah treler kerana ia menyumbang kepada kemalangan di lebuh raya,” katanya dalam sidang media selepas Ops Selit di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nazli berkata, pemandu diingatkan supaya tidak meletakkan kayu penyendal di bawah treler kerana ia boleh terpelanting atau terjatuh semasa kenderaan bergerak sekali gus akan membahayakan pengguna lain, terutamanya penunggang motosikal, yang akan terlanggar halangan di atas jalan raya.
Berdasarkan statistik Polis Kontinjen Selangor, sebanyak 18,850 kemalangan direkodkan di lebuh raya negeri Selangor dengan 199 daripadanya merupakan kemalanga maut membabitkan 211 kematian.
Dalam pada itu, Nazli berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh PLUS pada tahun lalu, sebanyak 19,218 objek dikutip oleh pekerja di atas lebuh raya manakala bagi zon tengah (Ipoh-Lebuh raya Utara Selatan Lingkaran Tengah) pula sebanyak 8,149 objek.
“Sebanyak 46.1 peratus objek adalah serpihan tayar manakala besi (18.4 peratus), kayu (11.9 peratus) dan selebihnya adalah objek-objek lain seperti komponen kenderaan serta bahan plastik.
“Akibat daripada objek-objek tersebut yang jatuh di atas jalan raya ia telah mengakibatkan kemalangan dengan 776 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu.
“Statistik ini membimbangkan kerana kayu yang diletakkan di bahagian bawah treler itu jatuh dan mereka telah beri pelbagai alasan seperti sudah diikat dengan kemas, hanya digunakan untuk menahan barang-barang di dalam kargo daripada bergerak selain mahu memudahkan kerja serta berbagai lagi alasan,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Nazli, bermula Januari tahun ini sehingga semalam, JPJ Negeri Selangor telah mengeluarkan sebanyak 14,142 notis menerusi Ops Halangan (Obstacle) antaranya membabitkan 2,732 kes kesalahan teknikal, tayar botak (475), muatan berbahaya (127) dan kayu penyendal (88). – MalaysiaGazette
Pihak berwajib patut banyak belajar dari penguasa di Arab Saudi bagaimana untuk memerika sesebuah kereta atau lori sebelum diberi kebenaran beroperasi diatas jalanraya!
Terlalu banyak juga nilai2 kebaikan dari negara2 tersebut untuk dipaktikkan disini!