Home Politik Pemimpin DAP sombong, angkuh tak gentleman – Tajuddin

Pemimpin DAP sombong, angkuh tak gentleman – Tajuddin

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercakap kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri NAFAS di Ibu Pejabat NAFAS, Kota Damansara. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2017

PETALING JAYA – DAP dianggap sebagai sebuah parti yang tidak ‘gentleman’ kerana dilihat cuba melengahkan-lengahkan arahan supaya mengadakan pemilihan semula (CEC), kata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menyifatkan pemimpin-pemimpin parti tersebut sebagai sombong dan angkuh ekoran tidak patuh dengan kehendak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung perkara berkenaan.

Katanya, parti UMNO juga pernah menerima arahan sama daripada ROS pada tahun 1988 kerana melanggar aturan dan peraturan Perlembagaan.

Bagaimanapun, UMNO akur dengan arahan tersebut meskipun ketika itu UMNO menjadi lebih teruk kerana parti itu turut diharamkan.

“Ini soal undang-undang, tidak kira DAP, PKR, Pas, UMNO, Barisan Nasional kalau tak ikut undang-undang tindakan mesti diambil.

“DAP ni belum membentuk kerajaan lagi. kalau sudah membentuk kerajaan, bila dah ada kuasa saya ingat mereka buat suka hati ikut nafsu nafsi saja,” katanya ketika diminta mengulas mengenai arahan ROS yang mahu DAP mengadakan sekali lagi CEC baharu bagi membolehkan perwakilannya memilih 20 anggota kepimpinan parti secara sah dan telus.

Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dihadiri kira-kira 3,000 jemputan anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama Tajuddin berkata, ROS perlu berpendirian tegas dengan arahannya itu dan DAP perlu mengikut keputusan meskipun terpaksa menerima hakikat jika parti itu diharamkan sebagaimana nasib yang pernah diterima UMNO.

ROS sebelum ini mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan utama DAP hasil pemilihan semula pada 29 September 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012 yang melibatkan seramai 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.

Sehubungan itu, ROS mengeluarkan arahan kepada DAP supaya mengadakan pemilihan semula CEC yang baru untuk memilih 20 anggota yang sah berpandukan kepada Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP untuk membolehkan pemilihan itu diiktiraf.

Dalam perkembangan sama, Tajuddin turut menyifatkan pemimpin DAP sebagai pengecut dan takut kalah jika bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang ekoran sikap mereka yang tidak berani untuk menuruti arahan ROS itu. – MalaysiaGazette