Home Nasional Hutang setengah juta, dua beranak tanggung derita diganggu ah long

Hutang setengah juta, dua beranak tanggung derita diganggu ah long

Khoon Leng (tengah) bersama Kang (kiri) dan Cheng Ling (kanan) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang warga emas dan anak perempuannya mendakwa hidup dalam ketakutan akibat menjadi mangsa gangguan ah long sejak Februari lalu.

Wanita yang ingin dikenali sebagai Kang, 65, berkata, dia mula diganggu ahli kumpulan ceti haram itu selepas anak lelakinya gagal menjelaskan hutang lebih setengah juta ringgit.

Selain itu, peniaga tersebut mendakwa anak perempuannya, Cheng Ling, 35, turut diganggu menerusi aplikasi WhatsApp agar menjelaskan hutang abangnya.

Jelas Kang, dia difahamkan anak lelakinya yang bekerja sebagai pembekal sayur di Butterworth meminjam RM500,000 hingga RM600,000 dengan beberapa ah long untuk kegiatan judi online.

“Pada mulanya ah long berkenaan bertindak mengedarkan notis yang memaparkan gambar saya dan anak lelaki di kawasan kediaman di Taman Riang, Butterworth.

“Susulan itu, kami menjelaskan kepada mereka (ah long) bahawa kami tidak tahu mengenai hutang yang dibuat anak lelaki saya itu, selain tidak tahu di mana dia menetap kini selepas melarikan diri

“Kami juga telah membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan anak lelaki saya serta merayu kepada ah long-ah long ini berhenti mengganggu kami dua beranak,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Gerakan di sini hari ini.

Hadir pada sidang akhbar itu, Naib Pengerusi Gerakan negeri, H’ng Khoon Leng.

Sementara itu, Cheng Ling berkata, dia bimbang dengan keselamatan dua anaknya yang berusia lapan dan 10 tahun selepas ah long tersebut turut mengugut menggunakan gambar keluarganya yang diambil menerusi Facebook.

“Saya dan ibu sudah membuat laporan polis berhubung gangguan ah long itu pada 1 dan 3 Mac lalu dan berharap pihak berkuasa dapat bertindak menghalang mereka daripada terus mengganggu kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Perkara ini lebih kepada isu hutang dalaman ahli keluarga @isu peribadi dan tidak perlu untuk diperbesar2kan oleh sebuah parti politik.

Comments are closed.